Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin parti itu sudah bebas daripada kumpulan yang disifatkan seumpama 'gunting dalam lipatan'.

Beliau antara lain melihat surat layang kononnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan hanya strategi memecah-belahkan perpaduan UMNO.

"Duri dalam daging sudah tidak ada. Jadi yang ada ini 100 peratus UMNO dibawah pimpinan Datuk Seri Najib.

"Jadi semua bersatu. Sekarang ni dari segi perpaduan pun begitu kukuh di kalangan UMNO kerana kita satu team sahaja," kata Ismail selepas menyampaikan sumbangan persekolahan untuk tahun depan kepada pelajar dan anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 di bawah Parlimen Bera di sini, hari ini.

BACA: Solidariti UMNO tidak terjejas dengan taktik kotor pembangkang - PM Najib

BACA: Surat palsu Kabinet baharu usaha lagakan pemimpin UMNO - Razali

Beliau mengulas surat yang viral di media sosial kononnya ditandatangani Ahmad Zahid untuk mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Dari segi sejarah semua orang UMNO tahu bahawa TPM mempunyai hubungan yang amat akrab dengan PM," jelasnya lagi.

Pada Sabtu, Najib dalam kenyataan medianya menyeru setiap ahli UMNO berwaspada dengan helah musuh yang cemburu terhadap keutuhan solidariti parti dan Barisan Nasional.