Skip to main content

Politik

Syed Saddiq, kerajaan setuju selesai isu peruntukan Parlimen Muar

Syed Saddiq bersama tiga pengundi Parlimen Muar memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman pada 23 April 2024 dengan menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden. - Gambar fail/Bernama
Syed Saddiq bersama tiga pengundi Parlimen Muar memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman pada 23 April 2024 dengan menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden. - Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • Pendengaran rayuan Syed Saddiq dan tiga pengundi Muar ditangguhkan bagi memberi ruang kepada penyelesaian antara pihak terlibat mengenai peruntukan Parlimen.
  • Kedua-dua pihak secara prinsip bersetuju mengembalikan peruntukan RM500,000 tahun 2023 dan RM230,000 untuk projek myKHAS yang dibatalkan.
  • Mahkamah Persekutuan menetapkan 7 Disember untuk pengurusan kes sementara menunggu perkembangan penyelesaian pertikaian tersebut.
Advertisement

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi yang mencabar keputusan kerajaan memberhentikan peruntukan bagi kawasan Parlimen itu ditangguhkan bagi membolehkan pihak-pihak terlibat mencapai penyelesaian dalam tindakan undang-undang berkenaan.

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq dan tiga pengundi itu memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa kedua-dua pihak secara prinsip bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian berkenaan.

“Persetujuan secara prinsip itu pada asasnya melibatkan pengembalian semula peruntukan RM500,000 bagi 2023 yang telah dibatalkan, selain peruntukan RM230,000 untuk projek tertentu di bawah program myKHAS juga akan dikembalikan,” katanya.

Advertisement

Susulan itu, beliau memohon mahkamah menetapkan satu tarikh dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung penyelesaian tersebut.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi yang mewakili Perdana Menteri dan kerajaan mengesahkan persetujuan berkenaan sambil memaklumkan bahawa Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini perkara itu.

Advertisement

“Saya menyokong permohonan rakan peguam saya supaya mahkamah menetapkan satu tarikh dalam masa terdekat bagi membolehkan kami memperincikan mekanisme penyelesaian berkenaan,” katanya.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri Azizah Nawawi yang mempengerusikan panel itu menetapkan 7 Dis ini bagi pengurusan kes sementara menunggu penyelesaian perkara berkenaan.

Pendengaran rayuan Syed Saddiq dan tiga pengundi itu berlangsung di hadapan panel yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Syed Saddiq, Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan kerajaan memberhentikan atau membatalkan baki peruntukan RM500,000 daripada keseluruhan RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan terus ke akaun bank Pusat Khidmat Parlimen Muar bagi pelaksanaan program kebajikan, kesejahteraan komuniti dan bantuan bencana.

Pada 24 Dis 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, manakala rayuan mereka turut ditolak Mahkamah Rayuan pada 27 Okt tahun lepas.

Bagaimanapun, pada 10 Mac tahun ini, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada mereka untuk merayu.

Syed Saddiq bersama tiga pengundi Parlimen Muar memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman pada 23 April 2024 dengan menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan itu, mereka turut memohon mahkamah mengembalikan akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta bagi kawasan Parlimen berkenaan, selain membatalkan keputusan menarik balik kelulusan beberapa projek bernilai RM230,300 yang telah diluluskan menerusi sistem itu.

Mereka juga mencabar keengganan responden meluluskan atau menyalurkan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar bagi pelaksanaan program di bawah Projek Mesra Rakyat atau inisiatif seumpamanya bagi 2024.

Selain itu, mereka mendakwa tindakan responden melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar serta hak tiga pemohon lain selaku pengundi di kawasan Parlimen itu, seperti yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement