PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengosongkan jawatan presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah dalam empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram.

Dalam satu sidang media pada Khamis, Syed Saddiq berkata, jawatan Presiden akan dipangku oleh Timbalannya, Amira Aisya Abdul Aziz, dan beliau kini tidak lebih daripada sekadar ahli biasa parti.

Biarpun masih ada ruang untuk membuat rayuan, dan beliau masih lagi berstatuskan Ahli Parlimen, Syed Saddiq berkata keputusan itu perlu dibuat memandangkan institusi presiden dan MUDA itu lebih besar berbanding beliau.

“Saya ingin maklumkan, apabila MUDA diasaskan, kami ingin membawa politik baharu. Dan ini melangkaui kepartian dan personaliti semata-mata.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA di Petaling Jaya, pada Khamis.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

BACA: Nak jadi pemimpin terbaik, harus jadi 'whiter than white' - Syed Saddiq


Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun Hakim membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga Syed Saddiq selesai membuat rayuan di peringkat seterusnya, sekaligus membolehkan beliau mengekalkan status sebagai Ahli Parlimen Muar.

Dalam pada itu Syed Saddiq berkata, biarpun beliau masih mempunyai dua lagi peluang rayuan iaitu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun beliau berkata, sabitan tersebut membuatkan dirinya tidak lagi layak menjawat jawatan tersebut.

“Saya faham undang-undang, dan daripada taklimat peguam saya tadi, walaupun berjaya mendapat stay of execution and conviction, tiada masalah untuk terus saya pangku jawatan ini, tetapi dalam bab ini, saya rasa penting untuk kita akui, MUDA ini lebih besar daripada seseorang, dan pada masa sama, bagi diri saya juga, I need to walk the talk.

“Ini bukan soal legality, birokrasi, tetapi ini soal prinsip seperti mana apabila saya sertai politik dahulu saya nak bersihkan politik, walaupun apa jua cara sekali pun. Bila sudah ada keputusan, walaupun ada dua lagi avenue, saya perlu letakkan threshold lebih tinggi ke atas saya, sama seperti saya harap threshold ditingkat bagi parti lain,” katanya lagi.

Mengulas mengenai rayuannya, Syed Saddiq berkata, beliau mempunyai kes yang kuat untuk membela diri, sama ada dari sudut fakta kes mahupun soal berkait perlembagaan, namun beliau enggan mengulas lanjut selagi belum mendapat alasan penghakiman penuh.

Sementara itu Amira Aisya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Putri Wangsa, Johor, berkata, beliau sedar tanggungjawab itu berat, tetapi ia bukan pengakhiran untuk MUDA, mahupun untuk Syed Saddiq sendiri.

“Perjuangan kita adalah bagi membersihkan politik. Perjuangan itu tetap kita teruskan, walaupun Syed Saddiq telah mengosongkan jawatan, beliau masih lagi ahli parlimen MUDA, akan bawa perjuangan tersebut dalam Parlimen.

“Juga saya ingin nyatakan di sini kepada akar umbi MUDA, bahawa keputusan hari ini bukan satu keputusan yang melemahkah MUDA, tetapi keputusan hari ini merupakan satu signal jelas, perlu diteruskan perjuangan,” tegasnya.

“Kami ingin mengangkat politik bermaruah dan berintegriti. Dengan itu jawatan presiden MUDA itu atau institusi muda itu perlu lebih putih dari putih. Sesiapa yang menjawat jawatan presiden perlu lebih putih dari putih, kerana beban tanggungjawab agak luar biasa.

“Tiada siapa termasuk saya lebih besar daripada parti yang diasaskan kami semua berserta dokongan rakyat Malaysia,” katanya lagi.