KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan seorang individu perlu menjadi "whiter than white" jika mahu menjadi pemimpin yang baik di Malaysia, susulan sabitan atas tuduhan kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

"Untuk mengubah Malaysia, ia bukanlah tentang personaliti seorang individu tetapi memperkasa institusi rakyat supaya tidak kira siapa pun mentadbir Malaysia akan berada di landasan yang betul.

"Untuk menjadi seorang pemimpin yang ingin memajukan negara ke tahap tersebut, individu itu perlu jadi lebih putih dari putih, to be a good leader in Malaysia, to realize that Malaysian dream, you need to be whiter than white," katanya dalam sidang media sejurus selepas keputusan diumumkan Mahkamah Tinggi pada Khamis.

Frasa 'whiter than white' merujuk kepada gambaran seseorang yang sentiasa jujur dan bermoral, dan biasa digunakan jika terdapat keraguan tentang watak atau tingkah lakunya.


[TERKINI] Sidang media pasca keputusan mahkamah terhadap Syed Saddiq


Ditanya jika beliau akan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden MUDA, Syed Saddiq berkata beliau telah membuat keputusan secara peribadi namun akan mengumumkannya selepas mesyuarat bersama kepimpinan parti petang ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada badan kehakiman dan menghormati hukuman yang dikenakan kepadanya, sambil menyatakan bahawa mahkamah akan menjadi penentu nasibnya.

BACA: Kronologi kes Syed Saddiq berhubung dana Armada

Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo mengesahkan mereka akan memfailkan rayuan hari ini juga.

"Proses perbicaraan sudah berakhir, seterusnya ialah memfailkan rayuan. Kami akan failkan rayuan hari ini juga.

"Selepas itu peringkat seterusnya ialah Mahkamah Persekutuan. Kita juga akan memohon tarikh awal untuk mendengar kes ini memandangkan ada sabitan dan penangguhan pelaksanaan, kami harap dalam masa terdekat kita failkan notis rayuan, kita dapat satu tarikh proceeding di Mahkamah Rayuan, bagi mengutarakan sebab-sebab kita meneruskan pendirian bahawa tidak ada berlaku sebarang kesalahan," katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta susulan sabitan terhadap empat pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama bersubahat melakukan pecah amanah dana RM1 juta Angkatan Muda Bersatu (Armada), Syed Saddiq diarah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan satu kali sebatan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 sumbangan parti milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan sekali sebatan.

Bagi dua pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta, dengan kedua-dua hukuman akan berjalan serentak.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama empat tahun jika gagal membayar denda.

Hakim membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.