KUALA LUMPUR: Pas yakin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih mampu menyumbang idea, pandangan dan pengalamannya demi kebaikan negara meskipun sedang menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu turut mendoakan agar Najib terus diberikan kesihatan yang baik sepanjang menjalani baki hukumannya.
“Pas mendoakan agar Najib terus diberikan kesihatan yang baik semasa menjalani baki hukuman terhadapnya di rumah dan yakin beliau masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalamannya demi untuk kebaikan negara,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Dalam pada itu, Pas menzahirkan kesyukuran serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Menurut Takiyuddin, perkembangan itu disifatkan sebagai amat bermakna kepada keluarga Najib serta rakyat yang mengenang dan menghargai jasa serta khidmat baktinya sebagai bekas Perdana Menteri.
Najib diberikan pengampunan bersyarat dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu diumumkan susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada Jumaat.