SHAH ALAM : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak sepatutnya dipersalahkan susulan tindakannya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2020 sehingga membawa kepada kemelut politik negara.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menjelaskan, beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020 susulan tidak mendapat sokongan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Saya letak jawatan kerana parti saya tolak saya dan biasanya dalam demokrasi bila ditolak oleh parti, kita letak jawatan.

"Selain itu saya juga sedar kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan jatuh kerana lompatan daripada Bersatu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya tidak faham kenapa orang salahkan saya letak jawatan PM dan patut salahkan orang yang tidak mahu sokong pendirian saya.

"Saya minta Bersatu untuk tangguh keputusan. Kita tengok dulu sebaliknya mereka tumbuk meja suruh keluar dari PH sekarang dan ia seolah-olah menolak saya,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada Isnin lepas.

Sebelum ini media melaporkan pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 dapat dielakkan.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir turut menjelaskan sebab beliau meninggalkan Pejuang kerana kecewa dengan sikap parti berkenaan.

“Kita cuba nak cantumkan Melayu yang bersih sebab sudah tidak banyak kerana parti yang besar semua terlibat dengan rasuah.

"Tinggal hanya parti kecil seperti Putra, Iman, Pejuang dan Berjasa dan badan bukan kerajaan (NGO) lain. Kemudian Pejuang kata tak mahu NGO, tidak mahu GTA dan ini bermakna bukan penyatuan tetapi perpecahan," jelasnya.

Susulan itu, beliau melahirkan rasa kecewa dan menunggu sehingga mereka membuat keputusan rasmi berhubung perkara tersebut.

"Selepas mereka buat keputusan pun saya fikir panjang dan ambil masa dan terpaksa tinggalkan Pejuang,” ujarnya.

Mengulas mengenai reaksi Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung perkara berkenaan, beliau memberi respons tidak tahu tentang hal tersebut.

"Saya tak tahu...itu dia punya pemikiran," ujarnya.

Januari lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan mengenai punca peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi parti itu pada Disember tahun lalu.

Tindakan Mahathir itu menurut beliau, diambil selepas berlakunya perbezaan pendirian antara dirinya dan bekas Perdana Menteri itu berhubung kerjasama dengan GTA selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Sinar Harian