KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa menetapkan sidang Parlimen tanpa nasihat daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu diperuntukkan di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada Khamis.

Beliau menegaskan, semua pihak tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan, tanpa mengira sebarang status dan keistimewaan.

"Agong dan Perdana Menteri tertakluk di bawah ikrar mereka untuk mendaulatkan Perlembagaan.

"Tidak ada prerogatif sama ada bagi Agong atau Perdana Menteri. Perlembagaan adalah yang paling tinggi kedudukannya," katanya.

Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata, peguam yang membicarakan hak prerogatif dan kaitannya dengan sistem Perlembagaan di Malaysia sebenarnya telah keliru dan tidak memahami bahawa Malaysia terikat dengan Perlembagaan.

"Dan tidak ada apa yang dikatakan hak prerogatif, sama ada dari segi sejarah atau Perlembagaan.

"Kedaulatan undang-undang dan pertanggungjawaban dalam menegakkan Perlembagaan tidak boleh dikompromi dengan pertimbangan di luar Perlembagaan.

"Parlimen adalah nadi utama Perlembagaan dan tanpa Parlimen yang berfungsi, Perlembagaan tidak dapat berfungsi,” jelas beliau lagi. 

BACA: Agong ada kuasa tangguh, bubar Parlimen - Peguam 

BACA: PH mohon perkenan Agong, segerakan sidang Parlimen 

BACA: Alasan untuk Parlimen tidak bersidang adalah remeh - Pejuang 

Ku Li sebelum ini membuat kenyataan menyambut baik ketegasan yang diperlihatkan dalam satu kenyataan Istana Negara bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda sahaja boleh memanggil Parlimen bersidang dan baginda juga mempunyai kuasa mutlak menangguh atau membubarkan Parlimen.

Baginda diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan pada penggal yang lepas dan penggal akan datang.

BACA: BN syorkan sidang Parlimen disegerakan, seru PM hormati titah Agong 

BACA: Agong berhak tentukan sidang Parlimen tanpa nasihat PM - Ku Li

BACA: Tiada keperluan lagi untuk panggil sidang Parlimen - Takiyuddin

Ku Li menerangkan, menurut Perlembagaan, sekiranya keputusan untuk memprorog atau menangguhkan Parlimen dibuat tanpa justifikasi, ia adalah salah di sisi undang-undang.

"Sekiranya penangguhan itu menimbulkan kekecewaan atau menghalang kemampuan Parlimen untuk menjalankan fungsi perlembagaannya, iaitu untuk mengawal selia Eksekutif, maka ia adalah tidak berperlembagaan.

"Dalam menghakimi sebarang justifikasi untuk menangguhkan Parlimen, Agong perlu sensitif terhadap tanggungjawab kepada negara.

"Perkara 55 sangat jelas mengenai tugas perlembagaan (constitutional duty) Agong. Ia bukan merupakan satu fungsi; ia tugas perlembagaan, dan tugas itu tidak boleh dikompromi," katanya.

Ku Li menegaskan, menurut Perlembagaan, Agong tidak boleh membenarkan sidang Parlimen ditangguhkan selama lebih enam bulan.

Katanya, kes berkenaan menangguhkan Parlimen tanpa justifikasi pernah diputuskan Mahkamah Agung United Kingdom baru-baru ini.

Kali terakhir Parlimen bersidang ialah pada November hingga Disember 2020. Tempoh pelaksanaan darurat yang diperkenankan Agong pada Januari lalu ialah sehingga 1 Ogos 2021.