KUALA LUMPUR: Tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan beberapa pembaharuan institusi adalah langkah yang baik untuk menjamin kestabilan politik dan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menerusi satu kenyataan menegaskan, Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) supaya sebuah kerajaan minoriti ini kekal berfungsi tidak boleh hanya datang daripada Muhyiddin, tetapi juga mereka yang beraspirasi untuk menjadi Perdana Menteri dan memegang kerajaan selepas ini.

"Kami menggesa mereka untuk bersaing di atas dasar pembaharuan bagi membentuk kerajaan yang stabil dengan pada masa yang sama menyelesaikan kelompangan sistem politik negara. 

"Seterusnya, meminta pihak pembangkang membentangkan, jika benar mempunyai majoriti 111 atau lebih dan menyatakan pakej pembaharuan yang mampu memperkukuhkan pentadbiran merentas parti.

“Mekanisme pembuktian ini agar pembangkang mempunyai majoriti sebelum mereka dapat membuang PM sedia ada diistilahkan sebagai Undi Tidak Percaya Konstruktif (Constructive Voice of No Confidence).

“Ia perlu dipertimbangkan untuk mengelakkan kekhuatiran orang ramai kepada kekosongan kementerian sebagaimana yang berlaku apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 24 Februari 2020 dan pembentukan Kabinet Perikatan Nasional (PN) pada 8 Mac 2020,” kata kumpulan bebas itu.

BACA: Kerjasama rentas parti untuk kestabilan sebelum PRU15

Bersih 2.0 dalam pada itu menggesa Muhyiddin yang mengakui kehilangan majoriti di dewan rakyat membuktikan semula sokongan di parlimen dengan usul undi percaya.

Ia sekiranya Ahli Parlimen Pagoh itu enggan meletak jawatan atau membubarkan parlimen segera berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Bersih 2.0 dalam pada itu mencadangkan pembuatan dasar berkaitan pandemik yang lebih inklusif melalui Majlis Persekutuan-Negeri bagi kesihatan dan ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen, dengan keanggotaan oleh Menteri Kanan, ahli parlimen pembangkang kanan, kesemua 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri serta pakar atau teknokrat.

“Pakej pembaharuan yang ditawarkan oleh adalah Muhyiddin tidak lengkap. Kami menggesa kedua-dua kerajaan PN serta Pembangkang yang diketuai oleh PH dan UMNO untuk menawarkan pakej untuk pembaharuan dan kestabilan.

“Manual kabinet yang menjelaskan konvesyen perlembagaan dan peraturan pentadbiran untuk isu utama seperti pembentukan kerajaan, kerajaan sementara, prerogatif Ketua Pembangkang Parlimen dan menteri bayangan," jelas Bersih 2.0 lagi.