KUALA LUMPUR: Titah Yang di-Pertuan Agong agar ahli-ahli politik tidak menjadikan masa hadapan rakyat dan negara sebagai ‘taruhan’, harus dipandang serius semua pihak berkaitan, kata Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Abd Hamid.

Beliau berkata, pesanan dan teguran Tuanku itu merupakan sesuatu yang amat diinginkan rakyat, terutamanya selepas Malaysia sudah terlalu lama berada dalam pandemik COVID-19, sehingga memberi kesan kepada kesejahteraan dan ekonomi negara.

Hamidin berkata, Titah Tuanku selari dengan aspirasi rakyat, supaya persidangan Parlimen kali ini dapat memberi tumpuan dan keutamaan untuk mengembalikan negara kepada landasan yang tepat.

“Ini merupakan perkara yang sangat diinginkan rakyat, supaya Parlimen berikan keutamaan kepada negara. Bukan kehendak parti, bukan kehendak individu.

“Ini harus dilakukan Ahli-ahli Dewan apabila jejak kaki ke Parlimen, fikirkan kepentingan rakyat, hala tuju negara, bukan semata-mata kelangsungan parti, ketua-ketua parti politik dan sebagainya.

“Ini saya kira merupakan satu teguran amat baik yang dilakukan Tuanku, dan ini menepati cita rasa rakyat. Sudah dua tahun rakyat merasakan keterlaluan, apa yang berlaku, diamalkan parti politik terlalu mementingkan kepentingan masing-masing,” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Jangan pertaruhkan masa depan negara, rakyat - pesan Agong kepada ahli politik

BACA: Agong laksana amanah berat lantik PM ke-9, puas hati sokongan 114 ahli Parlimen



Akibat COVID-19, ramai rakyat Malaysia terkesan & hilang sumber rezeki

SISI TV PARLIMEN, PANTAU APA AHLI PARLIMEN ANDA BINCANGKAN

Terdahulu, dalam Titah Diraja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas hari ini, Agong memberi teguran agar jangan meletakkan masa depan negara dan rakyat, sebagai percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

Al-Sultan Abdullah selanjutnya memberi pesanan agar Ahli-ahli Parlimen mengembalikan fokus kepada usaha memerangi COVID-19, serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.