AYER KEROH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 petang ini.

Istiadat angkat sumpah beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), jam 3.33 petang.

Hadir sama pada Majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Zaidi Johari dan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis yang juga menjadi saksi upacara menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka, Taat Setia dan Sumpah Simpan Rahsia.

Istiadat berkenaan sekaligus menamatkan teka-teki siapakah yang bakal menggantikan kedudukan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri sebelum ini selepas beliau meletakkan jawatan yang disandang sejak Mac 2020 lalu.

Sulaiman yang merupakan ADUN Lendu melepaskan jawatan yang dipegang beliau sejak 9 Mac 2020 itu bagi menggantikan Adly Zahari yang gagal mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka ketika itu.


Gelora politik Melaka kemudian sekali lagi bergolak apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman sehingga memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) Melaka menang selesa dengan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Nama Ab Rauf, 62, kemudian hangat disebut-sebut bakal menggantikan kedudukan Sulaiman sebelum beliau beberapa kali menafikannya.

Ab Rauf menyandang jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Beliau juga pertama kali bertanding di pentas politik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November 2021 lalu.