LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa hairan terhadap keputusan yang diambil Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan #Undi18 yang dijadualkan Julai tahun ini kepada September tahun hadapan.

Jelas beliau, alasan yang diberikan pihak berkenaan terutama melibatkan kesukaran dalam mengumpul data pengundi khususnya membabitkan kawasan mengundi yang turut memerlukan penglibatan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sesuatu yang amat sukar diterima.

Ia memandangkan teknologi yang dimiliki ketika ini mampu untuk memperoleh pelbagai data yang dimahukan dengan cepat termasuk individu yang mendaftar sebagai pemilih, usia pengundi serta kawasan tempat tinggal pengundi.

"Dari dahulu pun (sudah) ada masalah ini (persempadanan kawasan mengundi), tetapi kita boleh buat (dan cari penyelesaiannya dengan pantas).

"Saya yakin kalau kita hendak buat (Undi18) boleh, kerana kita ada pegawai (SPR dan JPN) di seluruh negara.

"Mereka boleh bagi maklumat, siapa yang mendaftar, surat beranak, di mana mereka tinggal, kita boleh tahu.

"Tetapi ada kes macam kebanyakan orang Kelantan duduk di Kuala Lumpur tetapi mengundi di Kelantan. Saya duduk Kuala Lumpur, mengundi di Alor Setar.

"Jadi data kita boleh dapat (dengan cepat). Saya fikir dengan komputer sekarang ini, tekan satu butang sahaja kita boleh dapat semua data.

"Jadi saya tidak fikir itu jadi masalah," kata Dr Mahathir ketika ditemui media selepas mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, Langkawi pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa pihaknya turut tidak memahami tindakan yang dibuat SPR yang mengambil masa yang lama untuk mengumumkan penangguhan #Undi18 selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 mengenai had umur mengundi yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2010 dan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Ini kerana pihak Pakatan Harapan (PH) telah membuat persiapan awal dan rapi mengenai perkara berkenaan selepas berjaya mengambil alih pentadbiran negara sejak Mei 2018.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menasihati semua pihak agar memberikan masa dan ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan penurunan had usia undi minimum pada usia 18 tahun.

Jelasnya, terdapat beberapa prosedur yang masih perlu diselesaikan termasuk berkaitan kawasan mengundi yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).