KUALA LUMPUR: Bilakah wakil rakyat boleh bekerja dan berkhidmat kepada rakyat sekiranya hampir setiap bulan ada Pilihan Raya Negeri (PRN), soal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA - Muar).

Persoalan itu dilontarkan ketika beliau membahaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Khamis.

Tegasnya, adalah pelik apabila UMNO menegaskan bahawa parti itu punca kestabilan politik di Malaysia namun sudah dua tahun berkuasa, kini terdapat empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Bila kita nak berkhidmat? Bila kita nak bekerja? Tengok Dewan Rakyat hari ini, kosong! Kenapa? Semua dekat Johor, berkempen.

“Saya pun selepas ini kena turun Johor. Nak fokus bantu rakyat macam mana? Satu-persatu, Sabah, lepas itu Sarawak tapi Sarawak saya faham sebab itu berasingan.

“Kemudian Melaka, Johor, orang kata selepas ini akan ada lagi di Perak, Kedah. Macam mana kita nak fokus bantu rakyat kalau PRN tak habis-habis?

“Kenapa kita tak boleh fokus saja selesaikan isu rakyat, kos sara hidup yang meningkat. Nak fokus macam mana, semua orang dekat Johor,” katanya.

Tambahnya, parti yang mendakwa punca kestabilan itu sebenarnya adalah punca ketidakstabilan.

“Yang lawaknya, yang membentuk Kerajaan Sheraton sebelum ini, parti terbesarnya ialah UMNO. Yang jatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO.

“Yang naikkan Datuk Seri Ismail Sabri, UMNO. Baru-baru ini di Parlimen, Pasir Salak (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) tanya kepada Timbalan Presiden UMNO nak desak Perdana Menteri untuk bubarkan Parlimen serta-merta.

“Siapa punca ketidakstabilan ini?” soalnya.

Katanya lagi, disebabkan perkara yang berlaku menunjukkan kestabilan politik merupakan perkara yang sangat penting.