Sebagai Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited mengukuhkan tahap disiplin dalam parti memandangkan pelbagai insiden yang berlaku sepanjang tempoh pemilihan berlangsung sepanjang dua minggu.

Ketika berucap menangguhkan Kongres Nasional Keadilan ke-13, di sini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau melihat perkara itu sebagai keutamaan memandangkan imej parti agak tercalar di pandangan masyarakat.

“Kerana inilah parti yang saya pimpin. Jadi kalau sudah berselisih pendapat, memikirkan calon A lebih baik dari B. Jangan gaduh maki hamun 'boo' cerca orang. Ini satu perangai buruk.

“Saya nak start pidato presiden dengan memberi gambaran jelas.

"Accept the party’s discipline or we kick you out from the party (terima disiplin parti atau disingkirkan daripada parti),” tegasnya di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan di kongres itu, hari ini.

Beliau berkata isu itu amat kritikal dan harus diberi keutamaan supaya tiada ruang dapat diberikan untuk pihak luar, terutamanya pihak lawan untuk terus meremehkan imej parti itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan membawa cadangan kepada Biro Politik dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat untuk tidak mengadakan pemilihan semula bagi Cabang Julau walaupun terdapat pelbagai laporan mengenai proses di kawasan itu.

Ini kerana, jelasnya lagi, apa yang penting ialah melaksanakan agenda yang lebih besar iaitu reformasi serta memastikan seluruh anggota dapat bergerak sebagai satu pasukan.

“Sahkan saja walaupun saya (sendiri) rasa tak puas hati kerana prinsipnya kalau dah bocor, apa pun alasan tak patut diterima. Tetapi saya memilih untuk selamatkan parti dan saya perlu pastikan kongres ini mengikut jadual.

“Jadi saya minta maaf, kerana kalau ada pihak rasa saya tidak berprinsip kerana terus iktiraf walau ada cacat. Untuk ini, bila saya hubungi Rafizi, saya jelaskan, terima kasih beliau terima baik,” katanya lagi.