Skip to main content

Dunia

Nebraska bergelut bendung kebakaran hutan terbesar dalam sejarah

Sumber: The Hotshot Wake Up
Lebih 242,000 hektar tanah musnah akibat beberapa siri kebakaran besar yang masih belum dapat dikawal sepenuhnya. - Foto X/@HotshotWake

SAN FRANCISCO: Negeri Nebraska kini berdepan krisis kebakaran hutan terbesar dalam sejarahnya apabila lebih 242,000 hektar tanah musnah akibat beberapa siri kebakaran besar yang masih belum dapat dikawal sepenuhnya, menurut pegawai negeri pada Ahad.

Kebakaran terbesar, dikenali sebagai Morrill Fire, telah membakar 186,000 hektar dan meragut seorang nyawa setakat Sabtu, kata Gabenor Jim Pillen.

Advertisement

Tiga lagi kebakaran besar di wilayah tengah dan barat Nebraska turut dilaporkan dan terus merebak akibat keadaan cuaca ekstrem.

Usaha pasukan penyelamat diganggu keadaan cuaca buruk akibat ribut musim sejuk di Midwest.

Pasukan pengurusan insiden Persekutuan dari National Interagency Fire Center (NIFC) berkata mereka telah mengambil alih operasi bagi dua kebakaran terbesar, Morrill Fire dan Cottonwood Fire, untuk menyelaras tindak balas di peringkat persekutuan.

Cottonwood Fire pula telah memusnahkan lebih 40,000 hektar sehingga Sabtu, menurut pejabat gabenor, Pengawal Nasional Nebraska dan Agensi Pengurusan Kecemasan Nebraska.

Namun, tiada maklumat baharu mengenai tahap kawalan atau keluasan kebakaran dikeluarkan pada Ahad.

Gabenor Pillen mengisytiharkan darurat negeri pada Jumaat, membolehkan pengerahan tentera Pengawal Nasional serta pesawat bagi membantu operasi pemadaman.

Menurut isytiharannya, gabungan angin kencang, kelembapan rendah dan keadaan kering telah mencetuskan kebakaran pada Khamis dan dengan cepat melepasi kemampuan pasukan bomba tempatan.

Pegawai persekutuan berkata mereka akan bekerjasama dengan pasukan dari Nebraska dan negeri jiran termasuk Colorado, South Dakota dan Wyoming.

Dua bandar terbesar Nebraska, Omaha dan Lincoln, turut menghantar pasukan bomba selepas menerima rayuan bantuan daripada gabenor.

Angin kencang melebihi 80 km/j dijangka menyebabkan pesawat pemadaman terus tidak dapat digunakan.

Walaupun ribut musim sejuk membawa salji ke beberapa kawasan, tiupan angin yang kuat dijangka menghalang kesan positif salji terhadap kebakaran.

Sebagai langkah tambahan, Gabenor Pillen turut mengeluarkan larangan pembakaran di seluruh Nebraska sehingga 27 Mac bagi mengurangkan risiko kebakaran baharu tercetus.

Kebakaran yang masih merebak ini menandakan salah satu situasi bencana alam paling serius dalam sejarah Nebraska, dengan pasukan tempatan dan persekutuan kini bekerja tanpa henti untuk mengekang kemusnahan yang semakin meluas.

 

Must Watch Video