KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari enggan memanjangkan perbincangan mengenai jawatan Ketua Menteri, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari supaya beliau kembali menerajui pentadbiran negeri sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan.
"Pandangan itu kita hargai, tapi fokus kita adalah untuk pastikan kemenangan di DUN-DUN ini kerana kita tahu bahawa proses pembentukan kerajaan bergantung kepada jumlah kerusi dimenangi," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.
Adly yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berkata, tempoh kempen perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu.
"Saya fikir tugas kita 14 hari ini untuk memenangkan ADUN-ADUN kita dan yang boleh memenangkan hanya satu iaitu undi daripada rakyat negeri Melaka. Itu fokus kita," katanya lagi.
Untuk rekod, Adly pernah menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka ke-11 selepas PH membentuk kerajaan negeri pada Mei 2018.
Bagaimanapun, pentadbirannya berakhir pada Mac 2020 susulan perubahan sokongan politik yang menyebabkan kerajaan PH negeri kehilangan majoriti.