Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Jegan K tawar pendidikan percuma, perluas peluang ekonomi di DUN Gadek

Mengulas persaingan di DUN Gadek, Jegan berkata statusnya sebagai anak tempatan yang menetap di kawasan itu menjadi kelebihan untuk mendekati penduduk dan memahami isu setempat - Foto ASTRO AWANI
Mengulas persaingan di DUN Gadek, Jegan berkata statusnya sebagai anak tempatan yang menetap di kawasan itu menjadi kelebihan untuk mendekati penduduk dan memahami isu setempat - Foto ASTRO AWANI

Advertisement

Advertisement

ALOR GAJAH: Menyediakan pusat tuisyen percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) menjadi antara agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, Jegan K, dalam usaha memastikan akses pendidikan lebih saksama kepada golongan memerlukan.

Pemegang Ijazah Sarjana Kesusasteraan Tamil itu berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membantu pelajar daripada keluarga B40 mendapatkan peluang pembelajaran tambahan tanpa dibebani peningkatan kos yuran tuisyen.

Anak jati Kampung Gadek itu juga berhasrat memperluas program berkenaan di kawasan itu berdasarkan pengalamannya terlibat dalam aktiviti pendidikan percuma sejak 2014 menerusi Persatuan Graduan Negeri Sembilan.

Advertisement

Katanya, beliau sebelum ini turut mengajar Bahasa Tamil kepada murid sekolah rendah menerusi program kelas tambahan yang diadakan pada setiap hujung minggu.

"Kos tuisyen sekarang semakin meningkat. Jadi, kita perlu menyediakan asas pendidikan kepada mereka yang memerlukan supaya golongan ini juga dapat menikmati peluang pembelajaran seperti orang lain," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.

Advertisement

Selain pendidikan, bekas Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah itu berkata, beliau turut mahu meneroka potensi tanah lapang di kawasan kampung untuk dibangunkan bagi menjana kegiatan ekonomi penduduk setempat.

Ujarnya, usaha itu perlu disokong dengan penambahan peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda, supaya mereka tidak perlu berhijrah jauh dari keluarga untuk mencari rezeki.

"Remaja sekarang sudah berbeza, bukan macam dulu. Mereka dah berhijrah ke tempat lain, ada yang pergi untuk (bekerja) di Singapura

"Jadi, kita nak peluang pekerjaan itu diperbanyakkan. Sebab sebelah sini pun ada Kawasan perindustrian HICOM Pegoh yang juga boleh dimanfaatkan bagi memperluas peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," tambahnya.

Dalam aspek perumahan pula, beliau berharap lebih banyak rumah mampu milik dapat disediakan pada harga berpatutan, khususnya bagi membantu golongan B40 dan pasangan muda memiliki kediaman sendiri.

Mengulas persaingan di DUN Gadek, Jegan berkata, statusnya sebagai anak tempatan yang menetap di kawasan itu menjadi kelebihan untuk mendekati penduduk dan memahami isu setempat.

Jelas pemuda berusia 45 tahun itu lagi, pengalaman bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum membolehkannya membina hubungan rapat dengan penduduk, sekali gus memudahkan urusan menyampaikan khidmat sekiranya diberi mandat.

"Sebelum ini, ada wakil rakyat yang bukan berasal dari kawasan ini dan penduduk agak sukar untuk berjumpa mereka. Saya mahu hubungan dengan masyarakat dapat dieratkan lagi supaya masalah mereka boleh dibincangkan," katanya.

Dalam PRN Melaka kali ini, DUN Gadek menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan S Nadarajah Sellappa (Barisan Nasional); Jegan K (Pakatan Harapan); Laveen Bala (Parti Bersama Malaysia) dan Laila Norinda Maon (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai Hari Pengundian, manakala Undi Awal dijadualkan pada 10 November ini.

 

Must Watch Video

Advertisement