BUKIT KATIL: Laungan ‘Melaka Rumah Kita’ bergema di sekitar Dewan Tun Ali di sini, mengiringi ketibaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pagi ini.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan tiba bersama puluhan penyokong PH yang melaungkan slogan berkenaan sambil memberikan sokongan kepada penyandang kerusi itu.
Turut kelihatan mengiringi beliau ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu.
Kehadiran dua pemimpin kanan Amanah itu turut menarik perhatian ketika penyokong parti berkenaan mula memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon sejak awal pagi.
Adly yang pernah menerajui pentadbiran Melaka sebagai Ketua Menteri dari Mei 2018 hingga Mac 2020 sekali lagi diberikan kepercayaan untuk mempertahankan kerusi Bukit Katil.
Pada PRN 2021, beliau berjaya mengekalkan kerusi berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, percaturan politik kali ini berbeza apabila BN dan PN memeterai persefahaman politik menjelang PRN Melaka ke-16, sekali gus menyaksikan kedua-dua gabungan itu menyelaraskan pembahagian kerusi.
PN mempertaruhkan Mohd Ridzuan Mohd Shariff daripada PAS untuk mencabar Adly di Bukit Katil, manakala Parti Bersama turut menampilkan Dr Aliza Che Amran.
Ketiga-tiga calon dilihat hadir ke pusat penamaan calon bersama penyokong masing-masing, dengan jumlah calon yang sah bertanding hanya akan diketahui selepas proses penamaan selesai dan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala rakyat Melaka akan keluar mengundi pada 14 November ini.