Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: PH bangkit isu monorel, projek terbengkalai

Adly menegaskan, projek terbengkalai tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian kerana turut menjejaskan imej pelancongan negeri.
Adly menegaskan, projek terbengkalai tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian kerana turut menjejaskan imej pelancongan negeri.

Advertisement

Advertisement

AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) Melaka mahu projek Monorel Melaka yang menelan belanja kira-kira RM16.5 juta dinilai semula bagi menentukan sama ada wajar dipulihkan atau ditamatkan terus.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, keputusan itu perlu mengambil kira tahap keselamatan struktur sedia ada serta potensi kemasukan pelaburan baharu.

Menurutnya, projek terbengkalai tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian kerana turut menjejaskan imej pelancongan negeri.

Advertisement

"Kalau struktur secara asas tidak boleh digunakan lagi dan ada aspek-aspek keselamatan, maka kita tak ada pilihan melainkan kita kena tamatkan apa yang telah kita ada," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.

Untuk rekod, Monorel Melaka sepanjang kira-kira 1.6 kilometer mula beroperasi pada Oktober 2010 dengan kos pembinaan dilaporkan RM16.5 juta.

Advertisement

Bagaimanapun, perkhidmatan itu beberapa kali berdepan masalah teknikal sebelum terhenti sekali lagi pada 2020.

Pada November 2024, pentadbiran negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) pernah mengemukakan cadangan menukar trek monorel berkenaan kepada laluan pejalan kaki sebagai tarikan pelancongan baharu.

Namun, status terkini pelaksanaan cadangan itu masih belum dapat dipastikan.

Mengulas lanjut, Adly berkata, jumlah RM16.5 juta yang dinyatakannya tidak termasuk kos penyelenggaraan selepas projek itu dibangunkan.

Beliau turut membangkitkan projek Arab City di Pulau Melaka sebagai antara pembangunan lama yang memerlukan penjelasan mengenai kedudukan aset dan hala tuju pemulihannya.

Untuk rekod, projek Arab City mula dibangunkan pada 2009 ketika pentadbiran BN dengan nilai keseluruhan pembangunan tiga fasa yang pernah diumumkan sekitar RM1.2 bilion.

Projek yang dirancang sebagai pusat perdagangan dan pelancongan berkonsepkan Asia Barat itu sepatutnya merangkumi bazar, restoran, muzium serta pelbagai kemudahan komersial.

Bagaimanapun, pembangunan yang dijadualkan siap pada 2012 itu gagal disempurnakan dan dilaporkan terbengkalai sejak lebih sedekad lalu.

Pada 2016, kerajaan negeri ketika itu turut mempertimbangkan untuk mengambil alih pembangunan Arab City selepas projek berkenaan tidak menunjukkan kemajuan selama kira-kira dua tahun setengah.

"Rakyat berhak mengetahui berapa banyak wang yang sudah dibelanjakan bagi setiap projek, ke mana wang itu disalurkan dan siapa yang bertanggungjawab memulihkan projek berkenaan," katanya lagi.

Adly menegaskan, semakan terhadap projek bermasalah perlu dilakukan secara telus tanpa mengira pihak yang meluluskannya, termasuk PH sendiri.

Must Watch Video

Advertisement