[TERKINI] PRN Sabah: Anggota tentera, pasangan teruja pertama kali undi awal
![[TERKINI] PRN Sabah: Anggota tentera, pasangan teruja pertama kali undi awal [TERKINI] PRN Sabah: Anggota tentera, pasangan teruja pertama kali undi awal](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71764043629_tbUndiawalPRNSab.jpg)
Anggota tentera dan pasangan teruja mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, menunjukkan semangat dalam proses demokrasi.
PUTATAN: Keterujaan jelas terpancar pada wajah anggota tentera dan pasangan mereka, yang pertama kali melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ringkasan AI
- Anggota tentera dan pasangan teruja mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, menunjukkan semangat dalam proses demokrasi.
- Pengalaman mengundi di Sabah dilihat memberikan suasana baharu kepada individu seperti Uwais Samsuri dan Nursyafiqah Norman.
- Noorfaezah Japar, yang hadir mengundi awal bersama bayi enam bulan, menganggap pengalaman itu bermakna dan lancar, menunjukkan sokongan tinggi terhadap proses pengundian.
"Pertama kali mengundi di Sabah... prosesnya mudah. Saya datang pukul 8 pagi tadi dan selesai dalam pukul 10 pagi.
"Ini kali kedua (mengundi)... pertama kali sebagai anggota dan pertama kali di sabah. Saya sudah tiga tahun menjadi anggota tentera. Tetapi perasaan untuk mengundi itu sama," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Bagi Nursyafiqah Norman, 24, yang bertugas di Unit 75 Batalion Kor Ordnans Diraja (75 BOD), pengalaman mengundi di Sabah disifatkan sebagai lancar dan teratur.
"Alhamdulillah, ada rasa sedikit nervous (gementar). Tetapi masa saya mengundi di Melaka dulu, mereka tunjukkan 'flow'… di sini pun sama, semuanya okey.
"Persiapan kali ini lebih tersusun dan prosesnya lancar," ujarnya.
Sementara itu, Noorfaezah Japar, 27, berkata pengalaman mengundi awal lebih bermakna kali ini kerana dia turut membawa bayinya yang berusia enam bulan dan hadir bersama suami ke pusat pengundian.
"Saya sangat excited (teruja), turun awal sebab semangat itu tinggi… sekejap saja prosesnya. Tiada masalah walaupun bawa bayi sekali," katanya ringkas.
Tinjauan mendapati, proses pengundian awal di Kem Lok Kawi berjalan dengan lancar dan terkawal, selain menyaksikan kehadiran jumlah pengundi yang memberangsangkan.
Turut hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal ialah Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin bersama isteri, Datin Noriza Md Rashid.
Seramai 2,569 anggota tentera dan 528 pasangan terlibat, menjadikan keseluruhan pengundi seramai 3,097 orang melalui tujuh saluran yang disediakan.
Pusat mengundi tersebut melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, yang menyaksikan saingan 11 penjuru pada PRN Sabah ke-17.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

