Skip to main content

Dunia

Africa CDC beri amaran kekurangan dana jejaskan ujian klinikal rawatan Ebola Bundibugyo

TB_CONGO EBOLA_AP
Africa CDC memberi amaran bahawa keadaan itu boleh menyebabkan penularan wabak menjadi lebih meluas, memburukkan lagi krisis kemanusiaan serta meningkatkan risiko penularan ke peringkat serantau dan antarabangsa. - Gambar fail/AP
Advertisement

ADDIS ABABA: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) pada Selasa memberi amaran ujian klinikal bagi menilai rawatan untuk strain Ebola Bundibugyo berisiko gagal diteruskan sekiranya pembiayaan segera tidak disalurkan, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, Africa CDC memuji Republik Demokratik Congo (DRC), penyelidik klinikal dan rakan pembangunan atas pelancaran ujian klinikal minggu ini bagi menilai calon rawatan untuk strain Bundibugyo di zon kesihatan Bunia, sambil menggesa pembiayaan segera sebanyak US$18 juta bagi memastikan penyelidikan itu dapat diteruskan.

"Ujian klinikal bagi rawatan Ebola perlu dimulakan minggu ini. 

"Tiada vaksin atau rawatan yang dilesenkan bagi strain Bundibugyo, dan tanpa pembiayaan segera, usaha menangani wabak ini berisiko gagal," menurut agensi kesihatan awam Kesatuan Afrika itu.

Africa CDC berkata masih terdapat kekurangan dana yang ketara bagi pelaksanaan ujian klinikal dan menggesa rakan dua hala serta pelbagai hala menyalurkan pembiayaan berkenaan dalam tempoh beberapa hari.

Menurut agensi itu, wabak Ebola Bundibugyo yang sedang menular berbeza daripada wabak Ebola sebelum ini kerana belum terdapat vaksin atau rawatan khusus yang dilesenkan bagi strain berkenaan, sekali gus menjadikannya cabaran besar dari sudut saintifik dan operasi.

Agensi itu memberi amaran bahawa keadaan itu boleh menyebabkan penularan wabak menjadi lebih meluas, memburukkan lagi krisis kemanusiaan serta meningkatkan risiko penularan ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Ujian klinikal itu dijalankan ketika wabak Ebola terus merebak di DRC dan Uganda, manakala pelbagai cabaran operasi menimbulkan kebimbangan bahawa penularan wabak itu boleh menjadi luar kawalan.

Dalam temu bual bersama Xinhua baru-baru ini, Ketua Pengarah Africa CDC Jean Kaseya menyifatkan ketiadaan vaksin atau rawatan khusus yang dilesenkan untuk strain Bundibugyo sebagai "cabaran operasi paling kritikal" dalam usaha membendung wabak Ebola ketika ini.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement