[TERKINI] PRN Sabah: GRS umum bertanding 55 kerusi, 33 peratus muka baharu
![[TERKINI] PRN Sabah: GRS umum bertanding 55 kerusi, 33 peratus muka baharu [TERKINI] PRN Sabah: GRS umum bertanding 55 kerusi, 33 peratus muka baharu](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81762921223_GRSPRNSabah.jpg)
Hajiji menyampaikan watikah pada Majlis Pengumuman Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu.
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meletakkan calon di 55 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagaimanapun calon yang diumumkan secara rasmi hari ini melibatkan 51 kerusi, sementara empat lagi calon dijangka diumumkan esok.
Berucap pada majlis pengumuman calon GRS, Ketua Menteri Sabah itu menyeru semua pihak merapatkan saf dan memperkukuh semangat perjuangan untuk memastikan kemenangan gabungan tersebut, demi kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri.
"Sebanyak 33 peratus adalah muka baharu dan insya-Allah jika kita bersatu hati atas nama GRS, kita akan menjadi kerajaan semula selepas PRN17.
'Saya berharap semua di sini menerima calon-calon ini dengan hati terbuka atas nama GRS," katanya dalam Majlis Pengumuman Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.
GRS terdiri daripada enam parti komponen, iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat); Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO); Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS); Parti Liberal Demokratik (LDP); Parti Bersatu Sabah (PBS); serta Parti Cinta Sabah (PCS).
GRS dan PH bekerjasama dalam PRN17, dengan PKR bertanding di 10 kerusi, DAP (lapan kerusi), manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka satu kerusi.
Bagaimanapun, satu lagi parti komponen PH iaitu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar daripada gabungan tersebut pada Isnin lalu.
[BERITA LANJUT MENYUSUL]
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

