[TERKINI] PRN Sabah: Isnin pertahan langkah lantikan politik di MDB, sifatkan isu dimanipulasi
![[TERKINI] PRN Sabah: Isnin pertahan langkah lantikan politik di MDB, sifatkan isu dimanipulasi [TERKINI] PRN Sabah: Isnin pertahan langkah lantikan politik di MDB, sifatkan isu dimanipulasi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763974636_DatukIsninAliasnih.jpg)
Isnin berkata, adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan prerogatifnya bagi memastikan individu yang dilantik benar-benar mahir serta sehaluan dengan kepimpinan kawasan.
BEAUFORT: Pembantu Menteri 1 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih mempertahankan tindakannya berhubung lantikan politik di Majlis Daerah Beaufort (MDB).
Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan prerogatifnya bagi memastikan individu yang dilantik benar-benar mahir serta sehaluan dengan kepimpinan kawasan.
Bercakap kepada Bernama hari ini, Isnin yang juga penyandang dan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias membidas pihak yang sengaja memanipulasi isu tanah dan banjir di kawasan itu bagi menyerang beliau ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sedang hangat berlangsung.
KENALI HERO SABAH ANDA DI SINI... MAIN SEKARANG!
Beliau berkata lantikan politik itu bukan dibuat secara semberono sebaliknya berdasarkan pertimbangan teliti sebagai wakil rakyat dan kesesuaian individu terbabit di peringkat kawasan.
"Jadi, kita kenal orang (yang dilantik) itu apa (bagaimana sikap dan potensi)... kalau orang itu menentang kita, buat apa kita nak pilih?... jadi (dakwaan) itu bohonglah," katanya sebagai mengulas kritikan bahawa beberapa lantikan di MDB dilakukan tanpa merit kerana sekadar mempunyai hubungan rapat dengan beliau.
Menyentuh mengenai isu tanah di Kampung Jimpangah yang dibangkitkan semula di media sosial, Isnin berkata ia adalah isu lapuk dan tiada asas yang sengaja dimainkan bagi tujuan politik.
"Isu Kampung Jimpangah ini sebenarnya sudah lama... itu memang tanah milik orang, dan kalau kita tinggal di orang punya tanah, mesti orang marah, tapi ia dah selesai... pengkritik saya hanya sengaja timbulkan persepsi negatif, tidak faham isu sebenar," katanya.
Beliau juga berkata kerajaan negeri tidak lemah dalam menangani isu sistem perparitan dan banjir yang sering melanda kawasannya kerana banyak langkah mitigasi telah dilaksana untuk mengurangkan impak termasuk menaikkan tebing Sungai Padas serta menutup laluan sungai kecil ke kawasan bandar.
"...tetapi harus juga ingat bahawa Beaufort ini adalah antara 10 daerah di Malaysia yang menerima hujan yang lebat sepanjang tahun... kawasan tanahnya adalah separas dengan paras laut dan apabila bertembung dengan air pasang, itu akan menyebabkan banjir besar.
"Banjir besar luar biasa yang berlaku baru-baru ini sebagai contohnya, tidak dapat dielakkan kerana taburan hujan mencecah 200 milimeter, melebihi tiga kali ganda paras kebiasaan," katanya.
DUN Klias, yang mempunyai 22,277 pemilih berdaftar, adalah antara dua kawasan di bawah Parlimen Beaufort yang akan berdepan PRN pada 29 Nov ini.
N32: KLIAS: SABAH: 22,277
1. Mohd Ariffin Barhim (KDM)
2. Edwin Louis (Bebas/IND)
3. Jismit Japong (PKS)
4. Mohammad Hisyam Hazaril (PN-Bersatu)
5. Kaliwon Edi (PPRS)
6. Mohd Shaid Othman (Warisan)
7. Matlani Sabli (PIS)
8. Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih (GRS-Gagasan Rakyat)
9. Osin Jilon (BN-UMNO)
(2020: Isnin Aliasnih: PN-Bersatu: Maj: 3,901)
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

