[TERKINI] PRN Sabah: Kerjasama dengan Pusat realiti politik, bukan tunduk kepada Persekutuan - Masidi
![[TERKINI] PRN Sabah: Kerjasama dengan Pusat realiti politik, bukan tunduk kepada Persekutuan - Masidi [TERKINI] PRN Sabah: Kerjasama dengan Pusat realiti politik, bukan tunduk kepada Persekutuan - Masidi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/71755862047_TBMasidiManjun.jpg)
Masidi menegaskan, menolak kerjasama hanya akan merugikan rakyat kerana proses pentadbiran dan bantuan kewangan boleh menjadi perlahan. - Gambar fail Bernama
RANAU: Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 tidak bermakna bahawa negeri itu tunduk kepada kepada Pusat, sebaliknya keperluan realistik bagi memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hubungan baik antara dua kerajaan itu penting kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan banyak isu pembangunan termasuk pembiayaan infrastruktur memerlukan tindakan bersama.
"Kadang-kadang orang salah faham, seolah-olah bila kita bekerjasama dengan kerajaan Pusat, kita memperhambakan diri. Tidak, Sabah juga sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, kita ada menteri pada peringkat Pusat, jadi kerjasama itu realiti politik," katanya kepada Bernama.
Masidi menegaskan, menolak kerjasama hanya akan merugikan rakyat kerana proses pentadbiran dan bantuan kewangan boleh menjadi perlahan, terutama bagi projek jalan raya, air dan infrastruktur asas lain yang sebahagiannya berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.
"Contohnya, orang baca jalan raya di Sabah 'ibarat permukaan bulan', tetapi ramai tidak tahu sebahagian besar jalan itu ialah jalan Persekutuan yang perlu diselenggara oleh kerajaan Pusat dan kita tidak lari daripada tanggungjawab tetapi ada perkara yang di luar kawalan kerajaan negeri.
"Jadi yang penting adalah memastikan kedua-dua pihak urus dana dengan lebih efisien dan pelaksanaan dibuat secara sistematik," katanya.
Mengulas kritikan pembangkang bahawa GRS menekankan parti lokal, namun masih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Masidi menegaskan, pendekatan itu bukan bercanggah, sebaliknya saling melengkapi.
Penekanan kepada parti lokal bertujuan membina keyakinan rakyat bahawa Sabah memiliki kemampuan mengurus hal sendiri tetapi dalam kerangka negara Persekutuan, kerjasama dengan kerajaan Pusat tetap penting.
Malah, sebagai Menteri Kewangan negeri, Masidi sedar dana pembangunan tidak pernah mencukupi baik pada peringkat negeri mahupun Persekutuan, justeru hubungan yang baik antara kedua-dua kerajaan membolehkan geran dan bantuan disalurkan lebih lancar.
"Kita mahu menunjukkan Sabah boleh urus banyak perkara sendiri, tapi dalam masa sama kita sebahagian daripada Malaysia, banyak isu kewangan, pembangunan, keselamatan perlu dilaksana secara bersama ... motif kita menyelesaikan masalah, kalau tidak bekerjasama, rakyat yang merana.
"Masalah duit ini sebenarnya bukan sahaja sesuatu yang kita hadapi pada peringkat negeri tapi dihadapi pada peringkat Persekutuan ... duit ni tidak pernah 'cukup', jadi hubungan erat ni membantu kita mempercepat pengurusan kewangan yang melibatkan bantuan dan geran daripada kerajaan pusat, bayangkan kalau tidak bekerjasama, benda yang kecil pun menjadi besar," katanya.
Mengenai perjalanan kempen PRN, Masidi berkata, GRS berada di 'landasan yang betul' untuk kembali membentuk kerajaan berdasarkan respons positif pengundi, terutama selepas gabungan itu mengambil peluang menjawab secara terus pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan sebelum ini.
"Sebelum ini kita jarang jawab tohmahan. Tapi kempen memberikan ruang untuk jelaskan satu persatu secara langsung kepada akar umbi. Ramai yang sedar apa yang mereka dengar selama ini tidak menggambarkan keadaan sebenar," katanya.
Masidi berkata, selain menjawab isu lama, GRS juga memberikan penekanan kepada perancangan masa depan dan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mempunyai tiga komponen utama, iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan dan penyelesaian masalah infrastruktur asas, bagi meyakinkan pengundi.
Dalam aspek pendidikan, beliau menekankan kesungguhan kerajaan negeri melahirkan sumber manusia yang berdaya saing, termasuk kenaikan peruntukan biasiswa daripada RM62 juta kepada RM121 juta tahun ini, meskipun pendidikan berada bawah kerajaan Persekutuan.
"Ini menunjukkan keseriusan kita memperkukuh pendidikan di Sabah. Kita tambah inisiatif untuk melengkapi apa yang dibuat kerajaan Pusat," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.p
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

