[TERKINI] PRN Sabah: Matunggong jadi daerah penuh, bantuan pendidikan tawaran Wetrom Bahanda
![[TERKINI] PRN Sabah: Matunggong jadi daerah penuh, bantuan pendidikan tawaran Wetrom Bahanda [TERKINI] PRN Sabah: Matunggong jadi daerah penuh, bantuan pendidikan tawaran Wetrom Bahanda](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763956503_WetromBahandaPRN.jpg)
Wetrom yakin KDM mampu meraih kemenangan di kerusi Matunggong pada PRN Sabah ke-17, dengan kekuatan sebenar terletak pada sokongan rakyat - Foto Facebook/Parlimen Kota Marudu
KOTA MARUDU: Datuk Wetrom Bahanda mahu menjadikan Matunggong sebagai daerah penuh, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, akan datang.
Ringkasan AI
- Datuk Wetrom Bahanda bercadang menjadikan Matunggong sebagai daerah penuh jika memenangi PRN Sabah ke-17, dengan memberi kelebihan besar kepada penduduk seperti penyelarasan perkhidmatan awam dan peruntukan pembangunan setara dengan daerah lain.
- Manifesto beliau turut menekankan peningkatan taraf belia dari segi sukan, bakat, dan kepimpinan, sambil mencadangkan menaik taraf Institut Pertanian Sabah sebagai universiti negeri dengan pendidikan percuma untuk belia.
- Wetrom juga menjanjikan pembangunan infrastruktur menyeluruh termasuk akses air bersih, elektrik stabil, jalan raya baik, hak tanah untuk penduduk tempatan, liputan digital, komunikasi berkelajuan tinggi, serta bantuan pendidikan untuk penduduk setempat.
"Kita juga masih berada dalam daerah yang termiskin. Jadi aspirasi rakyat, kita ingin jadikan daerah kecil Matunggong ini kepada daerah penuh. Itu yang paling penting.
"Kalau kita berkuasa, insya-Allah kita tanpa melengahkan usaha ini dam ia perkara pokok yang akan menjadi nadi kepada pembangunan Matunggong.
"Sebab bila daerah penuh, semua jabatan akan berada dalam satu bumbung dan keduanya peruntukan akan sama dengan daerah-daerah yang lain," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Selain menaik taraf Matunggong, Wetrom berkata manifestonya turut memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkasakan belia dari segi sukan, bakat serta kepimpinan.
Beliau juga berkata Sabah masih belum memiliki sebuah universiti milik Kerajaan Negeri, dan atas sebab itu KDM mencadangkan menaik taraf Institut Pertanian Sabah sebagai universiti negeri yang menawarkan pendidikan percuma untuk belia.
"Belia kita tidak akan ketinggalan sama ada yang miskin ataupun yang tidak berkemampuan, mereka ada peluang untuk belajar.
"Inilah peluang belia untuk menjadi modal insan bagi pembangunan pertanian negeri Sabah. Ini bukan sahaja di Matunggong, tetapi secara keseluruhan Negeri Sabah," tambahnya.
Dalam masa sama, Wetrom yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, pembangunan infrastruktur menyeluruh akan dilakukan demi memastikan keselesaan, seperti akses air bersih, bekalan elektrik yang stabil serta jalan raya yang lebih baik.
Turut terkandung dalam manifesto beliau ialah hak tanah untuk penduduk tempatan, memperluas liputan digital dan komunikasi berkelajuan tinggi.
Keenam ialah kebajikan penduduk yang lebih terancang, dengan antaranya memberikan bantuan pendidikan seperti kemasukan ke sekolah, kolej, dan universiti.
Wetrom juga yakin KDM mampu meraih kemenangan di kerusi Matunggong pada PRN Sabah ke-17, dengan kekuatan sebenar terletak pada sokongan rakyat.
"Sokongan rakyat kepada kita, kepada saya dan juga parti KDM pada ketika ini, saya amat yakin, 100 peratus kita akan menang di Matunggong," tambahnya.
Sementara itu, mengenai manifesto KDM pula, antara fokus utama parti itu ialah memperjuangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Wetrom memaklumkan isu MA63 telah berulang kali dibangkitkan di Parlimen dan tetap menjadi agenda penting parti bagi memastikan hak-hak negeri itu tidak terabai.
"Kita akan pastikan mana-mana juga keperluan dan hak Negeri Sabah yang belum terlaksana, kita minta dengan cara diplomasi dengan Kerajaan Persekutuan, supaya ia dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera sebab kita sudah 60 lebih tahun merdeka.
"Semestinya apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kalau dapat kita laksanakan, saya ingat ini akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kukuh.
"... Dengan tanpa mengabaikan peluang dan juga apa yang terkandung dalam perbincangan ketika mana penubuhan negara Malaysia," jelas Wetrom.
Pada PRN Sabah ke-17, Wetrom berdepan saingan enam penjuru di DUN Matunggong.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November depan sebagai hari mengundi, sementara 25 November (esok) sebagai undi awal.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

