[TERKINI] PRN Sabah: Saingan 13 penjuru di DUN Tamparuli, lapan penjuru di Kiulu
![[TERKINI] PRN Sabah: Saingan 13 penjuru di DUN Tamparuli, lapan penjuru di Kiulu [TERKINI] PRN Sabah: Saingan 13 penjuru di DUN Tamparuli, lapan penjuru di Kiulu](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763179161_TBPRNSabah.jpg)
Seramai 13 calon akan bertanding di kerusi DUN Tamparuli pada PRN Sabah kali ini. - Gambar/ Astro AWANI
TUARAN: Dua kerusi tumpuan di Parlimen Tuaran, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli dan Kiulu, masing-masing menyaksikan saingan 13 dan lapan penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kali ini.
Di DUN Tamparuli, bekas pensyarah kanan universiti, Dr Bonaventure Boniface, akan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Jahid Jahim.
Beliau akan berdepan cabaran daripada Datuk Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
Turut memberi saingan di kerusi berkenaan ialah Jinitoh Sontori daripada Parti Solidariti Tanahairku (STAR); Julia Ongkili (Parti Impian Sabah); Lee Han Kyun @ Joseph Lee (Parti Warisan); serta Dr Gaim James Lunkapi daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Selain itu, Parti Anak Negeri meletakkan Arthur Erik Lee; manakala Parti Rumpun mencalonkan Aliusus Sipil.
Lima calon Bebas juga memberi tentangan masing-masing Vun Yun Fook, Samson S.Koroh @ Razali Suffian, Johan Jahid, Andrew Mali, serta Raymond Alfred @ Jenry.
Di DUN Kiulu pula, penyandang kerusi itu iaitu Datuk Joniston Bangkuai daripada GRS bakal mempertahankan kedudukannya menentang tujuh pencabar lain.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) akan ditentang oleh Ketua STAR Bahagian Kiulu, Terence Sinti.
Selain itu, memberi saingan ialah Niyky @ Niky J. Bosikol (Parti Impian Sabah), Joisin Romut (UPKO), dan Saibin Gunsari (Warisan).
Sementara itu, KDM mempertaruhkan bekas pemain bola sepak, Henry Saimpon di kerusi DUN Kiulu.
Dua lagi calon yang memberi saingan kepada Joniston ialah Trevor Kenneth Maringking (Parti Anak Negeri), dan Dusi Gingging daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS).
Pada PRN16 lalu, Joniston menang dengan majoriti 1,221 undi menewaskan lima lagi pencabarnya, manakala Jahid menang di DUN Tamparuli dengan majoriti 3,517 undi mengalahkan tiga calon lain.
Dalam perkembangan sama, DUN Pantai Dalit pula menyaksikan saingan tujuh penjuru, dengan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Jasnih Daya bertanding atas tiket Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Gagasan Rakyat adalah salah satu parti komponen di bawah GRS, dan calon-calon di bawah parti berkenaan sepatutnya bertanding atas tiket gabungan berkenaan.
Warisan meletakkan Datuk Aliasgar @ Ali Ashgar Basri; Liam Tawil (Parti Impian Sabah); Mohd Zulkernain Osman (Perikatan Nasional); Jaesman @ Jaess Gipin (KDM); bekas penyampai berita, Francis Fahir (STAR); serta BN menampilkan Alfian Sambas.
Jasnih menang dengan majoriti 3,794 undi dalam pilihan raya tahun 2020, menewaskan tujuh lagi pencabarnya.
Pengesahan senarai calon diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tuaran, Ibrahim Terki.
Tempoh berkempen akan bermula sebaik sahaja pengisytiharan calon disahkan dan berlangsung selama 14 hari, sehingga 11.59 malam pada 28 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi dalam PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

