[TERKINI] PRN Sabah: Warisan 'terpaling MA63' - Armizan
![[TERKINI] PRN Sabah: Warisan 'terpaling MA63' - Armizan [TERKINI] PRN Sabah: Warisan 'terpaling MA63' - Armizan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41763543026_TBarmizan.jpg)
Ahli Parlimen Papar itu menegaskan keputusan mahkamah berhubung tuntutan SLS mengiktiraf peranan Kerajaan Sabah, di bawah pimpinan GRS - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Parti Warisan didakwa tidak konsisten dalam pendiriannya terhadap perjuangan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), meskipun sering menampilkan diri sebagai pihak paling lantang dalam isu berkenaan.
Ringkasan AI
- Parti Warisan didakwa tidak konsisten dalam pendiriannya mengenai tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila memerintah Kerajaan Negeri tanpa mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu tersebut.
- Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan tindakan Warisan sebagai "wayang politik" dan menegaskan bahawa parti tersebut tidak konsisten dalam isu hak minyak dan gas, termasuk tidak bersedia bersama Sarawak menuntut hak lima peratus Cukai Jualan Negeri (CJN) daripada PETRONAS.
- Armizan menekankan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memihak kepada Sabah Law Society digunakan oleh Warisan untuk memperlihatkan diri sebagai pihak yang memperjuangkan kes tersebut, namun hakikatnya Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GRSlah yang konsisten dalam mendapatkan hak 40 peratus.
"Bukan sekadar itu sahaja, kita boleh lihat pendirian dan pendekatan yang sama dalam isu hak minyak dan gas.
"Sehinggakan mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Mendiang Tan Sri James Jemut Masing, pernah membuat kenyataan bahawa Warisan patut bersama dengan Kerajaan Sarawak mengambil tindakan perundangan terhadap PETRONAS bagi menuntut hak lima peratus Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas produk petroleum.
"Shafie tidak mahu bersama Sarawak mencabar PETRONAS melalui saluran perundangan. Dan apabila Sarawak berjaya di mahkamah, syukur Sabah juga berupaya mendapat hak yang sama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Armizan menambah, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) baru-baru ini telah digunakan Warisan untuk menggambarkan, seolah-olah mereka pihak yang memperjuangkan kes tersebut di mahkamah.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Papar itu menegaskan keputusan mahkamah berhubung tuntutan SLS mengiktiraf peranan Kerajaan Sabah, di bawah pimpinan GRS.
"Hari ini, apabila SLS berjaya memperjuangkan hak Sabah di mahkamah, Warisan potong 'corner' tampil terpaling hero. Inilah wayang politik Warisan.
"Sepanjang prosiding mahkamah, Kerajaan Sabah konsisten dengan pendirian 40 peratus itu adalah hak Sabah yang tetap berkuat-kuasa, dan Sabah tetap mempunyai hak untuk menuntut tunggakan semakan kadar 'special grant' bermula tahun 1974.
"Inilah hakikat pendirian dan perjuangan Kerajaan Negeri pimpinan GRS dalam mendapatkan hak 40 peratus. Apa pula rekod Kerajaan Warisan bila memegang kuasa dulu, katanya tidak wajar menentang Kerajaan Persekutuan di mahkamah," ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu.
Dalam pada itu, Armizan berkata isu hak Sabah sepatutnya diperjuangkan bersama, namun berbeza dengan Warisan yang menuduh pihak lain sebagai pengkhianat.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

