[TERKINI] PRN Sabah: Yusof Apdal angkat isu pekerjaan dan pendidikan sebagai keutamaan di Silam
![[TERKINI] PRN Sabah: Yusof Apdal angkat isu pekerjaan dan pendidikan sebagai keutamaan di Silam [TERKINI] PRN Sabah: Yusof Apdal angkat isu pekerjaan dan pendidikan sebagai keutamaan di Silam](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71764158249_TBAPDAL.jpg)
Yusop berkata usaha itu perlu dipacu melalui kewujudan industri yang mampu menawarkan peluang pekerjaan berterusan kepada penduduk tempatan, khususnya golongan belia. - Foto Astro AWANI/Syaff Shukri Jalil
LAHAD DATU: Agenda mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkasakan pembangunan modal insan menjadi fokus utama sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Ringkasan AI
- Fokus utama calon Warisan, Datuk Mohammad Yusof Apdal, adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkasakan pembangunan modal insan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
- Usaha untuk kembangkan industri di kawasan DUN Silam perlu diperkukuhkan bagi menawarkan peluang pekerjaan berterusan kepada penduduk tempatan, khususnya golongan belia.
- Yusof menekankan kepentingan pendidikan berkualiti bagi melahirkan kepakaran generasi muda Sabah, supaya mereka mampu melanjutkan pengajian hingga peringkat universiti dan mempunyai masa depan yang lebih baik.
“Kalau menyentuh soal pekerjaan ni tentu kena ada sesuatu yang wujud di tempat ini terutama industrilah kalau tiada industri ni sudah tentu peluang ini tidak dapat kita kembangkan.
“Di kawasan saya, Alhamdullillah, dah ada POIC cuma kita perlu pertingkatkan lagi sumbangan POIC di sini kepada mewujudkan pekerjaan yang lebih kepada anak tempatan,” katanya.
Yusof berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di Lahad Datu, baru-baru ini.
Tambahnya, penyediaan peluang pekerjaan tidak boleh dipisahkan daripada tahap kepakaran dan pendidikan generasi muda.
Untuk itu, sejak dahulu lagi tegasnya, beliau sering menekankan kepentingan pendidikan berkualiti agar anak-anak Sabah dapat melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat universiti.
“Sebab itu dalam kita melihat kepada keperluan menyediakan pekerjaan, kita kena tengok kepakaran orang kita jadi kita lihat kepakaran yang menjadi pilihan (menerusi) latar belakang pendidikan.
“Sejak dulu saya sentiasa menekankan perlunya anak kita mendapat pendidikan terbaik dan maknanya kita boleh lahirkan pelajar-pelajar hingga peringkat universiti jangan hanya lulus tingkatan lima lepas itu dah tidak boleh naik jauh, itu yang sebenarnya berlaku di kebanyakan daerah di Sabah ini,” katanya lagi.
Justeru, Yusof berkata, beliau giat memberi dorongan kepada ibu bapa serta pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan seterusnya bagi memastikan mereka dapat membina masa depan lebih baik.
Dalam saingan mempertahankan kerusi Dun Silam yang dimenangi Warisan pada PRN16, Yusof akan berdepan saingan lapan calon lain.
Ia membabitkan Musa Mabul (BN), Datuk Mizma Appehdullah (GRS), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Abd Halim Sidek Gulam Hassan (PH), Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas), Mohammad Enriquez (SPP), Brahim Bisel (PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS).
Pada PRN16, Warisan menerusi Dumi Masdal berjaya memperoleh 5,200 undi dengan 1,542 majoriti dalam saingan enam penjuru.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

