KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk mengumumkan kekosongan mana-mana kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor, setakat ini.
Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, keputusan itu dibuat selepas semakan menyeluruh mendapati tiada wakil rakyat yang melanggar syarat kelayakan untuk terus memegang kerusi masing-masing.
"Saya menerima makluman terdapat isu ada ADUN yang mungkin boleh kehilangan kelayakan mereka. Saya sudah membuat semakan dan setakat pagi Isnin lalu, tiada sebarang isu sedemikian.
"Jadi tidak perlu saya buat apa-apa pengumuman terhadap mana-mana ADUN," katanya memetik laporan Berita Harian pada sidang media Rumusan Perbahasan DUN Selangor di Lobi Wisma DUN Selangor, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Weng San berkata semakan sudah dibuat dengan semua pihak termasuk menyentuh pelbagai sudut serta membabitkan semua ADUN.
Media sebelum ini melaporkan Weng San akan memanggil seorang ADUN yang didakwa hilang kelayakan bagi mendapatkan penjelasan dan mengenal pasti status terkini wakil rakyat berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sebelum ini dilaporkan berkata semakan turut akan dibuat dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Beliau berkata, sebarang pengumuman berhubung kekosongan kerusi DUN adalah di bawah kuasa prerogatif Speaker.
Media sebelum ini turut melaporkan spekulasi kemungkinan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor susulan status kebankrapan seorang ADUN.
Bagaimanapun, perkara itu terjawab selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan Perintah Kebankrapan terhadap wakil rakyat berkenaan.