Skip to main content

Malaysia

"Jangan dekat, nanti kena gigit" - Aktivis dakwa persepsi takut anjing dibentuk sejak kecil

51743235282_anjingliar.jpg
Peguam hak asasi haiwan, Rajesh Nagarajan berpendapat, PBT perlu mengimbangi cara menangani anjing yang boleh membahayakan komuniti dengan keperluan memastikan haiwan itu tidak diperlaku secara kejam. - Foto hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketakutan terhadap anjing dalam kalangan masyarakat antara lain berpunca daripada cara haiwan itu digambarkan sejak kecil.

Didikan ini dikatakan bermula apabila segelintir ibu bapa memberi amaran kepada anak-anak supaya menjauhi anjing kerana bimbang digigit.

Aktivis Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP), Dr Kartini Farah Rahim berkata, ia secara tidak langsung membentuk tanggapan bahawa semua anjing bersifat agresif, sedangkan tidak semua anjing menunjukkan tingkah laku sedemikian.

“Saya tahu sesetengah ibu bapa, apabila lihat anjing, dia akan menakutkan dekat anak-anak… jangan pergi situ, nanti anjing gigit. 

"Itu secara automatik menyebabkan budak-budak fikir secara umumnya, anjing adalah agresif. Itulah masalah budaya kita yang salah, perlu diperbetul," katanya dalam rancangan Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Jelasnya, sensitiviti agama yang disalah erti turut menjadi antara faktor, terutama apabila anjing menghampiri kawasan rumah ibadat sehingga ada pihak mengambil tindakan sendiri seperti meracun. 

Dari sudut Islam, Pensyarah Kanan Jabatan Usul al-Din dan Da’wah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Mohamad Razif Mohamad Fuad turut bersetuju bahawa budaya setempat mempengaruhi cara masyarakat berinteraksi dengan anjing.

"Selain daripada Islam, agama Yahudi terutamanya, juga agak tegas dalam bab bersuci. Secara umumnya, kita perlu akui bahawa bukan hanya Islam sahaja yang ada pandangan khusus tentang anjing tetapi agama lain juga. Saya akui berkenaan anjing ini, ia lebih kepada budaya setempat yang mana orang Melayu memang tidak biasa dengan anjing.

"Jadi dia berpandangan seperti difahami dalam mazhab Shafie sebagai haiwan yang najis, maka itu mendorong untuk mereka mengelakkan sebarang contact dengan anjing. Allah mewajibkan berbuat baik kepada semua perkara termasuk haiwan. Islam melarang perbuatan menzalimi haiwan.

“Bab anjing peliharaan berkeliaran, yang ganggu keselamatan awam, yang tidak dipakaikan dengan tali di leher… yang jadi tanggungjawab di sisi agama adalah pemiliknya, bukan anjing itu. Jadi para ulama’ letakkan tanggungjawab ke atas pemilik jika terbukti wujud kecuaian,” katanya.

Bagi meredakan isu ini, peguam hak asasi haiwan, Rajesh Nagarajan berpendapat, pihak berkuasa tempatan perlu mengimbangi cara menangani anjing yang boleh membahayakan komuniti dengan keperluan memastikan haiwan itu tidak diperlaku secara kejam.

“Sebagai contoh, negara seperti Turkiye dan Australia, mereka selesaikan dengan memandulkan, maka haiwan itu tidak boleh hasilkan anak dan masalah itu akan selesai dalam satu generasi. 

"Anjing liar atau jalanan, mereka boleh hidup pun sekitar tiga tahun sahaja sebab tiada makanan dan ubatan, jadi ia akan terhapus secara fitrah,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement