PENGURUS skuad sepak takraw kebangsaan, Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman, akui lega apabila tekong utama negara, Syahir Rosdi, akan kembali memperkuat pasukannya selepas pulih daripada kecederaan otot betis yang dialaminya ketika beraksi dalam Piala Dunia ISTAF di Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Katanya, kepulangan Syahir, yang juga tekong nombor satu dunia, pastinya akan memberikan nilai tambah terbaik buat pasukan negara, yang kini dalam persiapan menuju ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bulan depan.
Ahmad Zaffry juga percaya adalah tidak mustahil untuk kem lelaki negara membawa pulang dua pingat emas daripada temasya itu, masing-masing dalam acara regu dan regu berpasukan, sejajar dengan sasaran peribadinya selaku pengurus.
Untuk rekod, dalam Sukan Asia Hangzhou 2022, Malaysia menuai dua pingat perak daripada acara regu dan regu berpasukan lelaki.
"Dengan kembalinya Syahir Rosdi, saya amat yakin yang pasukan kita akan (kembali) menjadi pasukan yang kuat kerana kita tahu dia bukan sahaja tekong nombor satu negara, malah tekong nombor satu dunia," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Saya bersyukur dengan kehadirannya dan berharap dia memang sudah sembuh 100 peratus dan boleh bermain sepenuh masa.
"Sebagai makluman, kami ada sesi bersama CDM (ketua kontinjen ke Sukan Asia), Datuk Sumali Reduan, yang juga Presiden PSM (Persekutuan Sepaktakraw Malaysia), pada Selasa depan tetapi pemain semua sudah berada di pusat latihan di Bukit Jalil.
"Selepas lawatan CDM itu, kami akan berpindah ke Akademi Sepak Takraw di Kampung Baru untuk mengadakan latihan intensif.
"Apabila kita pergi berjuang, kita mesti nak menang, jadi Presiden berharap kita dapat satu emas tetapi saya akan membuktikan kepadanya bahawa kita akan membawa pulang dua emas buat negara.
"Itulah hasrat saya selaku pengurus."
- Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com