Tiada jawatan dalam Kabinet, Hadi pantau ahli laksana tugas

Bernama
Mac 10, 2020 23:52 MYT
Abdul Hadi menegaskan perpecahan yang berlaku dalam PH bukan disebabkan pihak lain, namun berpunca daripada pergolakan dalaman parti itu sendiri. - Gambar fail
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ketiadaannya dalam barisan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin membolehkannya memantau kerajaan baharu dengan lebih berkesan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata selain itu, ia juga bagi memantau setiap anggota Pas yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri agar mereka dapat melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.
"Ini perlu difahami oleh ahli-ahli Pas khususnya dan mereka yang hendak mempelajari konsep politik Islam yang kita perkenalkan.
"Mudah-mudahan, ia menjadi satu model yang amat baik dan kita mengharapkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berjaya. Kita mendukung sepenuhnya kepimpinan beliau sementara waktu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kita juga berharap rakyat akan dapat beri sokongan padu dan bersama-sama sama berdoa kejayaan kerajaan yang kita bentuk ini," katanya dalam perutusan khasnya di Facebook rasminya, malam tadi.
Beliau turut menjelaskan keputusan memilih Muhyiddin menjadi perdana menteri adalah untuk menghalang Pakatan Harapan membuat 'pusingan u' buat kali kedua berikutan sokongan yang sentiasa berubah-ubah.
"Alhamdulillah akhirnya kita berjaya dengan cara demokrasi, bukannya dengan cara pintu belakang. Ia mengikut Perlembagaan yang sah... berlakunya perubahan yang sangat menarik dan tidak mengorbankan rakyat, tidak menyusahkan rakyat," katanya.
BACA: Undi tidak percaya terhadap Muhyiddin umpama tidak percaya terhadap Agong - Hadi Awang
BACA: Tak jadi TPM pun tak apa, saya balik jadi nelayan - Hadi Awang
BACA: Jemaah Menteri: Pas tidak meminta, cuma mahu yang berintegriti - Hadi Awang
Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan perpecahan yang berlaku dalam PH bukan disebabkan pihak lain, namun berpunca daripada pergolakan dalaman parti itu sendiri sehingga terdapat usaha untuk menggulingkan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sehubungan itu, katanya Pas terpaksa mengambil langkah untuk mengambil alih kerajaan untuk menyelamatkan negara dan kerajaan melalui proses demokrasi dengan berpandukan sunnah Nabi Muhammad SAW.
-- BERNAMA
#Abdul Hadi Awang #ambil alih kerajaan #Facebook #Islam #kabinet #Mahathir Mohamad #Malaysia2020 #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #PAS #pergolakan dalaman #Perlembagaan #perpecahan #pintu belakang #politik Islam #PRU15 #pusingan u #selamatkan negara #sunnah Nabi