SHAH ALAM : Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan 'Malaysian Malaysia' seperti didesak sesetengah pihak.

Menurutnya, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk sebelum ini.

Malah katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan DAP berhubung perlembagaan parti.

"Peruntukan dalam perlembagaan DAP ialah beberapa perkara asas yang menjadi kebimbangan kepada orang Melayu sudah saya jelaskan.

"DAP mendukung prinsip terbabit termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita seperti dilapor portal berita selepas berucap dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Wisma DAP Muar, Taman Sakeh Baru, Johor pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan DAP perlu berubah menjadi parti yang sederhana supaya boleh terus disokong masyarakat Cina dan pengundi Melayu.

Nur Jazlan pada Rabu berkata, DAP merupakan rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan perlu mengikut formula kejayaan BN dan UMNO yang berubah mengikut landskap politik hari ini.

Jelasnya, bagi menjayakan formula itu, DAP perlu menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan partinya.

Sementara itu, Anthony Loke dalam masa sama berkata, tiada masalah untuk mana-mana parti bergabung bagi membentuk pakatan, meskipun mempunyai perjuangan dan pandangan sendiri.

Justeru katanya, adalah tidak wajar untuk mana-mana parti dalam gabungan kerajaan terus mempertikaikan perlembagaan atau prinsip asas parti lain yang menjadi rakan sekutunya.

"Bagi saya masing-masing ada pandangan dengan setiap parti ada prinsip perjuangan, ini tidak menjadi masalah apabila kita bekerjasama dalam satu gabungan politik terutama apabila membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Tetapi apa yang penting pada hari ini, kita membentuk Kerajaan Perpaduan, bekerjasama atas parameter dengan paling penting kita mengangkat dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya. - Sinar Harian