KUALA LUMPUR:Tidak ada mana-mana parti yang boleh mentadbir secara solo di negara ini, kata Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib.

Jelas Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, ia kerana Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan kesan warisan pentadbiran penjajah masih lagi kekal sehingga kini.

Maka jelasnya, perlu ada gabungan dari parti-parti politik untuk mentadbir negara.

"Formula ini telah direalisasikan dalam pilihan raya sebelum dan selepas Merdeka dan kini formula kerajaan gabungan masih lagi terus subur dengan pelbagai bentuk selain daripada Barisan Nasional (BN), kita ada Pakatan Rakyat (PR), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

"Cuma kalau kita perhatikan permuafakatan satu ketika dahulu dibentuk sebelum pilihan raya dengan andaian tidak ada kecenderungan untuk ianya dibentuk selepas pilihan raya.

"Kini kerana wujudnya trend kumpulan strategik yang bercadang mahu membentuk kerajaan berdasarkan gabungan parti-parti yang jelas, telah mendapat undi paling banyak walaupun tidak bersifat majoriti tetapi bersedia bergabung dengan mana-mana parti selepas pilihan raya untuk membentuk kerajaan," katanya semasa dihubungi pada Ahad.

Namun kata Dr Kartini, terdapat pro dan kontra dalam pembentukan gabungan itu sebelum atau selepas pilihan raya.

Jelasnya, gabungan-gabungan itu telah berjaya meleraikan yang kusut dan telah mendapat nada yang seiring untuk mentadbir kerajaan jika dibentuk sebelum pilihan raya.

Tetapi tegasnya, belum tentu gabungan parti itu sesuai dan mungkin tidak selari dalam membentuk matlamat mengurus negara dan rakyat kalau dibentuk selepas pilihan raya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu mewujudkan satu gagasan bagi melambangkan kesatuan tiga parti itu.