SIBU: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melahirkan rasa lega apabila mengetahui tidak akan berlaku perebutan jawatan Presiden dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Menganggapnya sebagai berita baik dan menggembirakan, beliau berkata ia akan membolehkan pemimpin tertinggi parti dan ahli PRS menyelesaikan masalah dan memberi lebih tumpuan kepada rakyat.

"Saya sendiri sebagai orang Dayak, sudah tentu saya tidak mahu melihat berpuak-puak dan pecah-belah dalam kalangan pemimpin tertinggi Dayak, terutama dalam PRS yang merupakan sebahagian daripada gabungan GPS," kata Ahli Parlimen Kapit itu dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu juga berharap PRS akan terus menegakkan perpaduan dalam kalangan ahlinya dan bekerjasama secara harmoni untuk menyokong kemajuan masyarakat Dayak dalam usaha membawa lebih kejayaan kepada masyarakat dan rakyat Sarawak amnya.

Nanta yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata sebagai sebahagian daripada parti komponen GPS, PRS memainkan peranan penting dalam gabungan itu untuk mengekalkan kerajaan negeri yang stabil, bukan sahaja untuk masyarakat Dayak tetapi juga untuk rakyat Sarawak.

"Justeru, kita memerlukan mereka supaya dapat menumpukan perhatian kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Dengan mengelak persaingan dan pertembungan sengit, saya yakin PRS akan dapat memastikan keharmonian dan perpaduan daripada menimbulkan konflik," katanya menambah PBB akan terus bekerjasama dengan semua wakil rakyat dan ahli PRS.

Dilaporkan bahawa Pemangku Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum akan menggantikan mendiang Tan Sri James Masing yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung tahun lepas selepas Naib Presidennya Datuk John Sikie Tayai, yang sebelum ini menyerahkan kertas pencalonannya untuk bertanding jawatan itu pada Persidangan tiga tahun sekali (TDC) PRS di Sibu hujung minggu ini telah memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Ketua Pemuda Datuk Snowdan Lawan dilaporkan berkata Majlis Tertinggi parti telah membuat keputusan supaya tidak ada sebarang pertandingan untuk semua jawatan dalam parti dan Salang perlu mengambil alih jawatan Presiden untuk penggal tiga tahun akan datang.

Justeru semua parti ahli mesti menghormati keputusan itu.

"Selepas penggal tamat dalam tempoh tiga tahun, mana-mana ahli parti boleh bertanding untuk sebarang jawatan yang mereka mahukan," katanya.

Dalam sidang media di ibu pejabat parti di Kuching, Setiausaha Agung PRS Datuk Janang Bunsu berkata parti itu telah bersetuju secara konsensus pada barisan yang tidak memerlukan pemilihan di TDC parti.

Konsensus barisan kepimpinan dicapai selepas pengorbanan peribadi yang besar di pihak John Sikie dan Salang.

"Datuk John Sikie telah mempamerkan sikap negarawan yang mengagumkan dengan menawarkan diri untuk menerima jawatan yang lebih rendah dalam barisan konsensus walaupun telah menerima banyak pencalonan untuk presiden parti.

"Datuk Joseph Salang, di pihaknya, bersetuju untuk dikekalkan jawatan Presiden parti bagi mengekalkan keseimbangan dalam parti," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Salang, John Sikie dan Ketua Penerangan PRS Datuk Wilfred Nissom.

-- BERNAMA