KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menafikan terdapat plot atau perancangan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak semasa pemerintahannya sebagai perdana menteri.

Mengulas mengenai dakwaan berkenaan, beliau berkata keputusan untuk bersuara di dalam mesyuarat Kabinet mengenai perkara itu hanya untuk mempersoalkan bagaimana dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development (1MDB) boleh berlaku dan cara untuk mengatasinya.

Malah, beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai spekulasi semata-mata.

"Tiada, kita tiada plot. Kita cuma bangkitkan, tapi saya tidak mahu bangkitkan perkara ini secara umum kerana masih dalam proses mahkamah.

"Macam mana pula benar? Kerana pada waktu tu dia Presiden UMNO, saya Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin Timbalan Presiden. Tiada plot, ia hanya spekulasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan, pada Ahad.

Terdahulu, bekas penasihat komunikasi politik Najib, Romen Bose mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri itu hampir menjadi mangsa rampasan kuasa oleh tiga 'Tan Sri' yang bersekongkol dengan pemimpin lain untuk menjatuhkannya dalam satu mesyuarat Kabinet pada 2015.

Sementara itu, merujuk kepada Plihan Raya Umum ke-15 akan datang, Shafie berkata pihaknya menolak untuk bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen.

Jelasnya, walaupun Warisan boleh berbuat demikian, namun fokus mereka kini hanya mewujudkan pakatan dengan parti lain.

"Ada yang melihat parti ini sebagai parti Sabah, hakikatnya, kalau kita lihat perlembagaan parti ini boleh bertanding di 222 kerusi.

"Ini perlembagaan parti kita, dari awal lagi bila parti ini daftarkan, maknanya parti ni boleh bertanding di mana-mana kawasan yang ada.

"Tidak... Warisan tidak mahu semua kerusi. Kita kena ada pakatan kita, itu yang saya minta kepada Syed Saddiq di Semenanjung, mantapkan orang muda," katanya lagi.