PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah mengkhianati parti tersebut.

Tegasnya, beliau yang menubuhkan parti itu jadi tiada sebab untuknya mengkhianati parti yang beliau sendiri tubuhkan.

“Saya sendiri pun melalui fasa jatuh dan bangun dalam politik. Ada kalanya saya di atas. Ada kalanya saya di bawah.

"Itu adalah sebahagian daripada asam garam kehidupan saya yang mesti saya terima seadanya.

“Kali ini Allah memberikan kepada saya satu amanah besar untuk memimpin parti dan kerajaan.

"Pengalaman mengajar saya bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa adalah sementara.

“Ia bukanlah kurniaan untuk kita bermegah-megah. Ia juga bukan hak untuk kita miliki selama-lamanya.

"Tetapi kuasa pemerintahan adalah satu amanah berat untuk kita pikul,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020 yang disiarkan di akaun Facebook rasmi beliau pada Sabtu.

Sumber Facebook ts.muhyiddin

Dalam pada itu, Muhyiddin juga sempat mengulas hubungannya dengan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menubuhkan parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Jelasnya, orang yang rapat dengan beliau pasti tahu betapa hormatnya beliau kepada Dr Mahathir yang mempunyai banyak sejarah dan sumbangan kepada parti.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita.

"Tak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

“Yang penting perjuangan parti ini mesti diteruskan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mereka yang kalah dalam pertandingan dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti supaya tidak kecewa atau merajuk.

“Teruslah istiqamah dalam perjuangan. Dalam perjuangan politik, jatuh bangun itu adalah perkara biasa. Buktikan keikhlasan dalam berjuang.

“InsyaAllah saudara-saudari akan berpeluang untuk terus berbakti kepada parti, bangsa dan negara,” katanya.