Naib Presiden PKR, Tian Chua dinasihat berhenti merosakkan minda anak muda dengan penganjuran kempen demonstrasi Kita Lawan yang dijangka pada 1 Mei depan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, Tian Chua juga perlu menyelesaikan masalah dalaman parti terlebih dahulu sebelum mengkritik Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dalam apa juga isu.

"Tian Chua ini sejak dahulu sehingga sekarang suka berbangga menggunakan jalan raya sebagai alat melepas perasaan kepada kerajaan.

"Dia hanya menjadikan keadaan kelam kabut dan menyusahkan orang lain. Rakyat juga sudah faham fokus Tian Chua untuk menggunakan orang ramai sebagai strategi peribadi politik PKR," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: #KitaLawan: 'Apakah Nik Nazmi sudah tidak ada kerja lain?' - Ibdillah
ARTIKEL BERKAITAN: Cubaan Khairy perkecilkan #KitaLawan tanda UMNO semakin takut - Tian Chua

Armand mengulas dakwaan Tian Chua yang memperkecilkan kenyataan Khairy kerana menganggap himpunan #KitaLawan tidak sehebat Perhimpunan Reformasi pada 1998.

Bagaimanapun Tian Chua berkata #KitaLawan merupakan kesinambungan kepada perjuangan mereka dan ia tidak boleh dibandingkan dengan gerakan Reformasi.

Dalam pada itu jelas Armand, Tian Chua harus melihat diri sendiri dan melihat jumlah yang sudah meninggalkan PKR kerana sedar kelemahan parti itu.

"Sejak dahulu mereka merosakkan anak muda terutamanya dengan penganjuran demonstrasi yang sia-sia sekali gus menyusahkan rakyat.

"Ini bukan 1998, sekarang rakyat sudah sedar permainan PKR dan Tian Chua perlu sedar, UMNO tidak pernah takut dengan perhimpunan ini," jelasnya.