Penyatuan rakyat seharusnya dijadikan sebagai kayu pengukur bagi pembentukan sesebuah kerajaan.

Ikatan yang terjalin di antara Sabah, Semenanjung dan Sarawak selama lebih lima dekad dalam pembentukan Malaysia ialah satu jangka lama memerlukan perubahan dan bukan lagi bergantung kepada omong kosong semata-mata, kata Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

“Ingat sudah 53 tahun Sabah membentuk Malaysia bersama Semenanjung dan Sarawak dan jangka masa itu begitu lama, dan kita perlu buat satu pendekatan perubahan di peringkat Sabah dan ini bukan hanya bergantung kepada janji semata mata," kata Shafie.


Beliau turut berkata WARISAN akan membantu Sabah membuat perubahan dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan tanpa mengharap kepada janji-janji kosong sahaja.

"Rakyat di peringkat akar umbi dalam keadaan yang amat susah bukan hanya untuk mencari nafkah hidup bahkan untuk memastikan anak-anak mereka ke sekolah dan ada ilmu, pelajaran dan pekerjaan.

"Ini yang kita (WARISAN) paparkan bahawa kita sebagai (parti) alternatif dan pilihan utama untuk memerintah Sabah," kata Shafie.

Shafie berkata demikian di sambutan Pesta Gong Matunggong dan Jelajah WARISAN yang berlangsung di Matunggong, di sini hari ini.

Majlis sambutan itu turut menyaksikan lebih 1,000 ahli baharu dari Kudat, Matunggong, Kota Marudu dan Pitas mendaftar sebagai ahli baharu WARISAN.

Pada 17 Oktober lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan parti sedia ada yang diambil alih oleh Shafie yang juga merupakan bekas menteri UMNO yang dinamakan semula sebagai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Sebelum pengambilalihan itu, parti berkenaan dikenali sebagai Parti Pembangunan Warisan Sabah yang ditubuhkan pada tahun 2013.

ROS juga meluluskan logo dan perlembagaan seperti dalam permohonan Shafie.

Shafie merupakan Presiden baharu WARISAN manakala bekas ahli Parlimen PKR Penampang, Darrel Leiking dilantik sebagai timbalan presiden.