Keputusan wakil rakyat yang memilih untuk melompat parti tidak perlu dihalang memandangkan ia adalah hak kebebasan mana-mana ahli politik selain kebebasan dalam sistem demokrasi.

Itu yang ditegaskan oleh Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Dr Shamrahayu A Aziz yang berpendapat bahawa tiada kepentingan untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti buat masa ini.

“Kita tidak memerlukan akta ini kerana ia dapat menunjukkan bahawa kebebasan mana-mana wakil rakyat untuk bersuara sama ada dia bersetuju dengan partinya atau tidak.

“Terma ‘crossing party’ ini adalah hak kebebasan mana-mana ahli politik untuk mempunyai kebebasan dalam sistem demokrasi.

“Walaupun ada yang berpendapat bahawa tindakan tersebut sebagai mengkhianati rakyat yang memilih mereka tetapi perlu dilihat sistem sesuatu parti politik itu sendiri yang menyebabkan ahlinya menukar parti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Ahad.

Tegasnya, hanya negara yang belum mencapai tahap matang dalam sistem demokrasi yang menggunakan Akta Anti Lompat Parti.

“Pada pendapat saya, untuk negara kita, tiada keperluan yang mendesak untuk menggubal akta ini kerana saya percaya kematangan sistem parti politik yang memberi kebebasan kepada ahlinya untuk bersuara.

"Sehubungan itu, bagi memastikan mana-mana ahli politik kekal dalam sesuatu parti politik, parti itu perlu mengikat ahlinya dengan keutuhan dan kemampuan pucuk pimpinan mengemudi parti tersebut," jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pas Perak yang dilaporkan menggesa kerajaan menggubal Akti Anti Lompat Parti bagi mengelakkan fenomena wakil rakyat lompat parti berleluasa di negara ini.