KUALA LUMPUR: Isu undi percaya terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat akan datang sewajarnya tidak diperbesarkan sehingga mencetuskan keresahan rakyat dan merencatkan usaha kerajaan memulihkan negara kesan penularan pandemik COVID-19.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, rakyat sebenarnya sudah 'letih dan meluat' dengan telatah pemimpin-pemimpin politik yang masih tamak dan gilakan jawatan serta kedudukan dengan berselindung di sebalik permainan undang-undang dan logik akal untuk mengemis kuasa.

"Sebagai pemerhati politik, saya melihat banyak permainan muslihat untuk meraih kuasa sehinggakan kepentingan rakyat dan negara diketepikan tetapi dalam masa yang sama bermuka-muka dan berbohong kononnya mereka bersandarkan kepada prinsip demokrasi dan Raja Berpelembagaan.

"Oleh sebab itu, atas kepentingan rakyat dan kesejahtetaan negara, saya bersetuju dengan pandangan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

"Pelantikan Ahli Parlimen Bera dan Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri ke-9 pada hemat saya juga telah dibuat mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Rabu.

BACA: Tiada keperluan pertikai keabsahan PM melalui usul undi percaya

BACA: Tiada undi percaya terhadap PM di Parlimen - Wan Junaidi

Dalam pada itu Syed Ali turut berpandangan, adalah wajar pemimpin politik terutamanya Ahli Parlimen membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh berkorban kepentingan politik sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menjayakan langkah kerajaan memerangi COVID19.

"Daripada berterusan bermain dengan isu undi percaya dan keabsahan Perdana Menteri hanya disebabkan kemaruk kepada kuasa tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat, malah secara tidak langsung juga seperti sengaja mengaibkan kemuliaan dan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong.

"Malah saya khuatir jika setiap kali berlakunya pelantikan seseorang Perdana Menteri yang baharu, ia masih memerlukan kepada keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Yang di-Pertuan Agong. Ini bermakna kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong seperti boleh dicabar oleh pihak lain.

"Saya berpendapat apabila Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang diyakininya dengan sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen, maka adalah tidak lagi satu kemestian untuk diadakan undi percaya di Parlimen kerana keabsahannya sudah pun diperakui oleh pihak Istana Negara," tegasnya.

Katanya lagi, Perdana Menteri dan kerajaan yang ada hari ini adalah sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan negara sekali gus semua pihak perlu berlapang dada serta tidak berterusan bermain dengan angka politik sehingga tumpuan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan kegawatan negara akibat COVID19 hanya sekadar retorik.

"Dalam hal ini, saya juga berasa kecewa dengan pemain politik dan penganalisis serta cerdik pandai politik yang tidak habis-habis mengeluarkan pelbagai ulasan dan provokasi bersabit isu undi percaya serta keabsahan yang menyebabkan rakyat semakin keliru dan tersepit.

"Sepatutnya jika mereka jujur dan ikhlas kepada kestabilan politik negara, berilah peluang dan ruang kepada Ismail Sabri meneruskan tugasnya sehingga PRU15 di mana pada ketika itu rakyat mempunyai kebebasan membuat pilihan, sama ada mengekalkan kerajaan sedia ada atau sebaliknya.

"Perdana Menteri sudah memberikan tempoh 100 hari dan sebagai rakyat, kita yakin kerajaan akan terus bergerak ke hadapan untuk meneruskan usaha pemulihan negara dan dalam masa yang sama, semua pihak perlu berhenti bermain politik hanya kerana dihambat oleh nafsu untuk berkuasa," jelasnya.