SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan belum membuat sebarang keputusan berhubung kerusi Parlimen mana yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah katanya, soal pembahagian kerusi itu akan dibincangkan bersama parti komponen BN dalam masa terdekat iaitu selepas selesai sesi libat urus dan perjumpaan dengan Jentera BN Sabah.

"Keutamaan parti ketika ini adalah bagi memperkukuh dan mempersiapkan jentera di seluruh bahagian terlebih dahulu. Saya belum cakap pasal calon, pasal kawasan lagi, kita bincang pasal jentera, kesiapsiagaan jentera.

"Saya tak pernah cakap pun nak bertanding di mana-mana. Saya cakap dah sampai masanya untuk saya bertanding di peringkat Parlimen. Di Parlimen mana suka hati sayalah, saya Timbalan Presiden, boleh bertanding di mana-mana saya mahu. Saya tidak cakap (bertanding di Rembau), orang nak cakap ikutlah. It is not my concerned," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai merasmikan Mini Ekspo Keselamatan dan Kesihatan sempena sambutan Hari Malaysia di Bandar Sri Sendayan pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 berikutan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Mohamad (dua, kiri) ketika meninjau sekitar program berkenaan pada Sabtu. - Sinar Harian

Dalam pada itu, Mohamad berkata, pada peringkat awalnya sudah meminta rakan komponen BN menyatakan hasrat masing-masing (kawasan yang ingin diletakkan calon) berhubung pembahagian kerusi pada PRU15 ini.

"Ada beberapa kerusi yang perlu dilakukan perubahan-perubahan, itu biasa. Kita buat 'switching' kerana ada beberapa tempat (kerusi) itu memang dah tiga, empat kali pilihan raya, jadi kita perlu melihat strategi.

"Kita dalam pilihan raya ataupun 'perang' ini strategi penting kerana keutamaan kita adalah untuk menang. Kita bukan nak bersuka ria, berapa calon kita dapat kuota, tetapi kalau tak menang tak guna juga, yang penting masuk pilihan raya nak menang, nak menubuhkan kerajaan selepas PRU15," katanya.

Sementara itu, Mohamad menegaskan tidak mengetahui mengenai cadangan agar perbincangan dijalankan di antara UMNO dan Pas mengenai 27 kerusi kritikal menjelang PRU15.

"Saya tak tahu pasal kerusi tersebut, tetapi yang saya lakukan sekarang ini adalah saya pergi ke setiap negeri untuk mengenal pasti dan melihat kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya yang boleh diadakan bila-bila masa," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan memaklumkan parti itu terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO berhubung 27 kerusi kritikal menjelang PRU15 akan datang.

Jelasnya, kesemua kerusi terbabit telah dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dalam PRU lalu. -- Sinar Harian