KUALA LUMPUR: Semua parti politik termasuk MCA perlu menolak sebarang bentuk perkauman dan ekstremisme, bagi mengekalkan identiti keluarga Malaysia yang berbilang kaum.

Setiausaha Agungnya Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir ahli politik yang memainkan isu-isu berkaitan agama serta perkauman, secara melampau.

"Perkara ini amat membimbangkan, dan sudah sampai masanya untuk MCA malah mana-mana parti politik di negara ini, untuk bangun dan bersatu dan menolak perkauman dan ekstremisme. Ia satu tanda yang kuat iaitu cukup-cukuplah; ahli politik telah menggunakan perkauman, agama malah pendudukan, bahasa sebagai taktik dan ini suatu yang merbahaya.

"Kita mahu mengembalikan kuasa rakyat untuk menjadikan negara pelbagai kaum, pelbagai budaya, yang menghormati kepelbagaian agama, budaya dan bahasa, supaya kekalkan identiti Keluarga Malaysia yang berbilang kaum," katanya.

Chong berkata demikian ketika ucapan perasmian Mesyuarat Agung Wanita MCA ke-46 di Wisma MCA, yang dihadiri 687 delegasi secara fizikal dan maya. Hadir sama Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.

Sementara itu Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dalam rakaman ucapannya berkata sikap tidak kenal penat-lelah dan kerjasama oleh jentera wanita MCA, menyumbang kepada kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri Melaka bulan lepas.

"Sikap kepemimpinan yang sederhana dan realistik, serta sentiasa bersama membangunkan negara terdiri daripada rakyat berbilang kaum, membuatkan MCA sentiasa kekal relevan dan kembali mendapatkan kepercayaan rakyat meskipun pelbagai cabaran ditempuhi.

"Sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina, kejayaan yang dikecapi sedikit sebanyak merupakan semangat daripada MCA yang sentiasa berjuang bersama rakan-rakan dalam komponen BN," katanya.

Pada majlis sama, Heng berkata berikutan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 di Parlimen pada Rabu lepas, pihaknya akan mewujudkan pusat khidmat nasihat bagi memberikan khidmat perundingan kepada mangsa-mangsa di seluruh negara.

Beliau berkata Pusat Bantuan Wanita dan Penasihat Undang-Undang (LAWA) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta dibantu oleh 179 bahagian parti di seluruh negara bagi menjayakan usaha itu dan berkolaborasi dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Seminar secara 'road show' akan diadakan dalam bahasa Cina, Melayu dan Tamil sama ada melalui video atau bersemuka, serta melancarkan kempen 'Katakan Tidak kepada Gangguan Seksual'," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Chong berkata pihaknya akan memperkenalkan lebih ramai calon muka baharu terutamanya dalam kalangan orang muda untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Dalam PRU sebelum ini, kami menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada senarai calon adalah muka baharu, jadi saya yakin bahawa pada PRU akan datang lebih ramai daripada itu (30 peratus) akan diperkenalkan," katanya.

Ditanya mengenai kerjasama antara Parti Warisan dengan MUDA akan menggugat kedudukan MCA dalam PRU15, Chong berkata pada masa sekarang agak sukar untuk diramal berikutan terlalu banyak parti-parti baharu ditubuhkan terutamanya di Semenanjung Malaysia.

Semalam, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya turut terbuka menerima mana-mana parti lain untuk bergabung dalam menghadapi PRU15, memandangkan parti berkenaan secara rasmi melebarkan sayap ke Semenanjung.

-- BERNAMA