KUALA LUMPUR: Kenyataan pucuk pimpinan utama UMNO yang mengaitkan dirinya dengan tuduhan menggunakan dana sayap parti demi kepentingan peribadi adalah tidak benar dan sengaja dicanang untuk memberi persepsi buruk, tegas Mas Ermieyati Samsudin.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mengatakan bahawa kenyataan tersebut tidak benar kerana penggunaan dana yang dimaksudkan telah diagih mengikut ketetapan melalui ketua puteri negeri dan ketua puteri bahagian seluruh negara untuk menjalankan program, aktiviti serta bertujuan untuk persediaan dan gerak kerja menghadapi pilihan raya.

Ini selepas namanya bersama dua ahli parlimen lain dipetik dalam keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Saya keluar UMNO secara rasmi pada 1 Julai 2018, selepas memikirkan saya hanya mampu berkhidmat kepada rakyat Masjid Tanah dengan lebih baik sekiranya saya bersama dengan kerajaan semasa, bukan sebaliknya," kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Kata Mas Ermieyati, kenyataan-kenyataan yang dibuat adalah tidak berasas yang secara tidak langsung mendatangkan persepsi buruk di mata masyarakat dan pengundi di kawasannya.

Menurutnya, tuduhan sama itu telah dijawab sebelum ini iaitu ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Melaka tempoh hari, selain dalam satu kes yang telah ditarik balik oleh pucuk pimpinan parti UMNO.

Tambahnya, memandangkan keterangan dibuat di kandang saksi semasa keterangan bersumpah di mahkamah, beliau akan mengkaji lebih mendalam hal ini kerana ia perlu ditangani dengan serius dan tegas.