KOTA KINABALU: Tujuh ahli Parlimen dari Sabah dilantik sebagai Timbalan Menteri yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Tujuh yang dilantik itu ialah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching yang memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Kementerian Perladangan dan Komoditi; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains dan Teknologi; Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri; Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

KABINET PERPADUAN NASIONAL

Kesemua mereka yang dilantik masing-masing mewakili Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan DAP.

Lima daripada tujuh ahli Parlimen iaitu Siti Aminah, Mohammad Yusof, Foong Hin, Khairul Firdaus dan Mustapha merupakan muka baharu yang dilantik sebagai Timbalan Menteri bagi Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar.

Sementara itu, Arthur dan Mohamad pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya dan Timbalan Menteri Pendidikan II dalam kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, Anwar telah mengumumkan dua menteri penuh dari Sabah iaitu Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali daripada GRS. -Sinar Harian