Sebuah badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) mencadangkan agar pungutan suara dijalankan di Selangor bagi membolehkan pandangan rakyat diambil kira berhubung isu pertukaran menteri besar, lapor Malaysian Insider.

Ketua Esekutif Lensa, Safwan Anang berkata kerajaan Selangor akan dilihat memulakan demokrasi baru apabila membenarkan rakyat bersuara biarpun referendum tidak mempunyai kuasa dari aspek perundangan.

"Referendum ini juga akan menjadi mercu tanda kepada sebuah demokrasi baru yang dimulakan pemimpin Selangor," katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Safwan berkata, disebabkan keputusan yang dibuat di peringkat pentadbiran negeri akan memberi kesan kepada rakyat makan Pakatan Rakyat Selangor tidak boleh menafikan hak rakyat negeri itu.

"Lensa memerhatikan akibat culas mendengar suara rakyat, kerajaan negeri Selangor sudah beberapa kali menerima respon dingin daripada rakyat berhubung beberapa isu yang berlaku.

"Isu Kidex misalnya, pentadbiran negeri bukan saja culas menjalankan pungutan suara rakyat, malah konsultasi umum juga tidak dijalankan secara berkesan," katanya.

Katanya, apa yang berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak mustahil akan berlaku di Selangor jika kerajaan negeri tidak mengambil kira suara rakyat.

Selangor kini berdepan politik yang melibatkan usaha menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menjawat jawatan menteri besar sejak 2008.

PKR mencadangkan nama presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang sebagai calon untuk menggantikan Abdul Khalid.

Bagaimanapun, Abdul Khalid bertegas beliau akan terus mempertahankan jawatan yang disandangnya itu sehingga habis penggal pilihan raya.

PAS Selangor juga dlam satu kenyataan sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah bersetuju untuk menukarkan Abdul Khalid dengan Wan Azizah.