KOTA BHARU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan menegaskan tulisan jawi tertera pada sepanduknya adalah logo rasmi baharu cawangan itu, dan tiada kaitan dengan program Jelajah Perikatan Nasional (PN).

MUDA Kelantan berkata, tulisan jawi sudah sebati dan menjadi satu identiti serta amalan biasa sejak sekian lama di negeri itu.

"Kebiasaannya tulisan jawi dipaparkan di sekolah agama, pusat tahfiz, surau dan masjid. Bezanya di Kelantan, ia dipaparkan menerusi  papan tanda kedai, billboard dan juga poster iklan yang bersaiz kecil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MUDA Kelantan berkata, pihaknya menganjurkan Jelajah Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya ke Kelantan pada Rabu lepas.

“Tumpuan  jelajah negeri ini adalah untuk memaklumkan proses rejuvinasi parti serta menyampaikan hala tuju MUDA sebagai kuasa ketiga.

“Amira Aisya turut berbuka puasa bersama beberapa pimpinan mahasiswa negeri Kelantan.

“Kemudian beliau meneruskan jelajah ke Mika Coffee sebagai panel utama dalam 'Forum Kepimpinan Khadijah' yang berteraskan kepada pemerkasaan wanita.

“Kami berharap proses rejuvinasi parti ini memberi kesan yang baik dan sekali gus merapatkan saf antara akar hmbi dan pimpinan negeri,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan itu sedang merancang untuk mengadakan siri jelajah seluruh negara dengan turun ke setiap negeri bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Muhyiddin dilapor berkata, keputusan menjelajah bersama bekas Presiden MUDA itu atas dasar sokongan yang ditunjukkan meskipun tidak menyertai PN.