POLITICS
Tun Dr Ismail tokoh majukan orang Melayu, tanpa abai bukan Melayu - Jeniri

Tun Dr Ismail merupakan pemimpin unggul yang berpandangan ke hadapan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tun Dr Ismail Abdul Rahman merupakan pemimpin unggul yang berpandangan ke hadapan dan sangat menekankan soal keadilan serta kesaksamaan sosial.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Jeniri Amir berkata ketika kerajaan memberikan penekanan kepada pembangunan orang Melayu pasca tragedi 13 Mei, Tun Dr Ismail tidak mengabaikan soal kesejahteraan ekonomi masyarakat bukan Melayu.
"Salah satu punca utama tercetusnya peristiwa 13 Mei adalah kerana jurang ekonomi yang begitu lebar antara kaum Melayu dan bukan Melayu.
"Pada waktu yang sama kita perlu tekankan bahawa sebagai seorang pemimpin politik unggul yang berpandangan ke hadapan dan futuristik, Tun Dr Ismail tidak mahu hak-hak orang Cina ini diabaikan ketika hak-hak orang Melayu diberikan keutamaan.
"Jelas, dari awal lagi beliau memberikan keutamaan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan," katanya semasa ditemu bual dalam program Buletin AWANI.
Selain itu, usaha tokoh besar itu juga menjadi asas kepada pembentukan Rukun Negara yang menjadi landasan negara bangsa Malaysia yang lebih baik.
"Pentingnya negara ini diletakkan di atas landasan yang betul. Dengan cara ini sahaja Malaysia dapat pastikan hubungan kaum yang harmoni dan menyumbang kepada kestabilan politik. Seterusnya dapat menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang lebih adil," jelasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami