Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan perancangan sesetengah pihak untuk menjadikan UMNO sebagai sebahagian kerajaan campuran, antara sebab beliau bertindak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dalam satu perutusan khas yang disiarkan hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ia merupakan sesuatu yang sama sekali tidak dapat beliau terima.

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai Kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” tegasnya lagi.

Sewaktu mendedahkan rancangan itu, Dr Mahathir berkata, beliau telah meminta semua pihak agar memberinya masa untuk terus mentadbir negara, namun partinya sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan, termasuk ahli dari parti komponen lain.

“Dengan perlakuan ini Kerajaan Pakatan Harapan akan gugur. Kesannya jika BERSATU sokong Pas dan UMNO maka parti-parti yang kalahlah yang akan diri Kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, beliau turut memutuskan untuk letak jawatan sebelum ini kerana merasakan, kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga beliau tidak dapat memilih mana-mana pihak.

BACA: 'Jika diizin, saya akan wujudkan kerajaan yang tidak memihak mana-mana parti' - Tun M

“Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.


“Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara,” katanya lagi.


Dr Mahathir berkata, atas sebab itu, beliau bertindak meletak jawatan kerana baginya, apa yang paling penting untuk orang politik hanyalah parti mana yang memerintah, sama ada kalah atau yang menang.

Katanya lagi, sebenarnya, beliau telah berjanji akan letak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa penggantinya.

“Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih.

“Jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada. Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba,” katanya.

Dr Mahathir turut memohon agar diberi peluang untuk beliau mewujudkan pemerintahan baharu tanpa memihak kepada mana-mana parti, sebagai usaha mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.