BATU KAWAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan gesaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng supaya kerajaan Pulau Pinang “menutup pintu” kepada UMNO, adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi parti DAP.
Kon Yeow berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukan UMNO dalam kerajaan negeri pimpinan PH perlu diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi PH.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau mengambil maklum pandangan Guan Eng itu, namun katanya semua pihak perlu menunggu keputusan pimpinan tertinggi, termasuk keputusan Majlis Presiden PH.
"Itu bukan pendirian parti. Setakat ini, tiada sebarang arahan rasmi dikeluarkan. Setiausaha Agung telah mengeluarkan kenyataan meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat Pakatan Harapan bagi membincangkan kedudukan UMNO susulan ucapan presidennya pada Perhimpunan Agung UMNO.
"Kita tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Presiden PH. Janganlah di peringkat bawahan mengeluarkan pelbagai kenyataan. Buat masa ini, kita beri tumpuan kepada pimpinan tertinggi, manakala pandangan lain hanya diambil maklum.
"Gesaan itu hanyalah pandangan peribadi dan bukannya keputusan rasmi parti," kata Kon Yeow.
Kon Yeow berkata demikian kepada media selepas merasmikan program rintis pembelajaran Abad ke 21 ( PAK21) bagi murid berkeperluan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Batu Kawan di sini, pada Selasa.
Pada Ogos lepas, Kon Yeow berkata, Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kekal dengan pendirian mereka untuk terus bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Pada Isnin, Penasihat DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan (PH) “menutup pintu” kepada Umno, susulan cabaran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada kerajaan persekutuan supaya menyingkirkan parti itu dari Putrajaya.
Guan juga menggesa kerajaan Pulau Pinang menolak kepimpinan Umno dan BN yang “oportunis, tidak berprinsip dan hipokrit” dengan melaksanakan dasar yang mengutamakan rakyat.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu lalu mencabar kerajaan gabungan pimpinan PH supaya menyingkirkan Umno dari kerajaan dan mengadakan pilihan raya mengejut.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengecam penyokong PH yang menggesa Umno meninggalkan kerajaan, dengan mengingatkan bahawa gabungan itu tidak akan berada di Putrajaya tanpa sokongan BN.