KUALA LUMPUR: UMNO mencabar kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membuktikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka tidak perlu menunggu sehingga bulan September sebelum sidang Parlimen berjalan.

Tambahnya lagi, kenyataan Muhyiddin dalam Perutusan Khas yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.

“Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan (8) Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

“Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu,” katanya lagi.


Terdahulu, Muhyiddin turut mendakwa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Jelasnya, beliau telah menyembah maklum kepada Agong, di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Kata Perdana Menteri lagi, Agong juga telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.



PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini

BACA: PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bilangan Ahli Parlimen dari UMNO yang mahu menarik sokongan daripada Muhyiddin telah bertambah daripada semalam.

“Setelah Majlis Kerja Tertinggi membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos 2021 bagi menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO telah bertambah lagi.


[TERKINI] Sidang Media Presiden UMNO | 3 Ogos 2021

“Pada hari ini saya telah mengutus warkah kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu,” kata Ahmad Zahid lagi.




Kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti - Zahid Hamidi